Kes buli rebut teman wanita, mangsa trauma rupanya bekas pesakit kanser limfoma


  • Massa
  • Rabu, 16 Ogos 2023

Jimmy Puah Wee Tse ketika mengadakan lawatan di kediaman mangsa pada Rabu. — Facebook/Jimmy Puah Wee Tse

SUSULAN kes buli melibatkan sekumpulan pelajar tingkatan tiga di kawasan rekreasi Taman Bestara Indah, Johor Bharu, Johor baru-baru ini, mangsa dikatakan masih lagi trauma dengan kejadian menimpa dirinya.

Perkara itu dikongsikan oleh Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse yang mengadakan satu lawatan ke rumah mangsa, dikenali sebagai Iqbal di kediamannya pada Rabu.

"Pagi tadi saya melawat adik Iqbal mangsa buli dipukul sekumpulan pelajar di kawasan Taman Permainan di Taman Bestari Indah yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

"Saya nyatakan rasa simpati atas ujian yang menimpa ke atas adik Iqbal. Turut menyerahkan sumbangan kepada ibubapa adik Iqbal sebagai tanda prihatin.

"Bagi saya, tiada kompromi ke atas perbuatan buli dan gangsterime dan tindakan yang sangat tegas wajar diambil ke atas mereka yang terlibat.

"Dalam masa terdekat, pejabat saya dan pihak sekolah dengan kerjasama pihak polis akan menganjurkan program kempen kesedaran dan sesi kaunseling sebagai salah satu usaha membendung gejala buli," katanya di laman Facebook.

Turut hadir bersama dalam lawatan tersebut ialah pegawai polis daripada Balai Polis Pelangi Indah, para pegawai daripada Pejabat Pendidikan Pasir Gudang, Johor dan Pengetua serta guru sekolah adik Iqbal.

Dalam pada itu, seorang kenalan keluarga pelajar itu berkata, mangsa merupakan bekas pesakit kanser limfoma yang baru saja disahkan bebas daripada penyakit tersebut.

Jimmy Puah seterusnya menasihatkan pelajar berkenaan supaya menjalani ujian sinar-X di Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mengenal pasti sama ada dia mengalami kecederaan dalaman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram