'Abah' Muhyiddin dibebaskan, PN sedia saman kerajaan dan SPRM


  • Politik
  • Selasa, 15 Ogos 2023

Muhyiddin Yassin dibebaskan daripada empat pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada Selasa. — Awani

PARTI Perikatan Nasional telah memulakan tindakan undang-undang untuk menyaman kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada semua pertuduhan salah guna kuasa.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa Peguam Negara mengkaji semula semua pendakwaan terpilih terhadap pemimpin Bersatu dan Perikatan bagi tujuan menarik balik kesalahan mereka.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, Mahkamah Tinggi bukan sahaja memutuskan pertuduhan terhadap bekas perdana menteri Muhyiddin sebagai cacat, tidak berasas, kabur dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah tetapi juga menyalahgunakan proses mahkamah.

"Kebenaran akhirnya berpihak kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan.

"Balas dendam politik kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional yang sengaja mencipta fitnah, membuat pertuduhan dan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwa pemimpin Perikatan terbukti di mahkamah pada Selasa.

"Kezaliman ini perlu dihentikan dan saya juga telah memulakan tindakan undang-undang untuk menyaman Kerajaan Malaysia dan SPRM," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Hamzah menambah, referendum rakyat yang telah ditunjukkan dalam keputusan enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos lalu mesti diterjemahkan dengan menolak kerajaan Pakatan-Barisan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perikatan telah memenangi 146 kerusi daripada 246 yang dipertandingkan, termasuk menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu pada pilihan raya enam negeri pada 12 Ogos.

Terdahulu pada Selasa, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan melibatkan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan RM232.5 juta untuk Bersatu.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat perintah untuk melepaskan dan membebaskan presiden Bersatu itu selepas mahkamah berpuas hati bahawa keempat-empat pertuduhan tidak berasas.

Muhammad Jamil berkata, pertuduhan tidak menunjukkan sebarang butiran kesalahan dan menyebabkan tertuduh tidak dapat memberi arahan sewajarnya kepada pasukan peguamnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram