PERBALAHAN melibatkan pemimpin dalam sesebuah kerajaan atau parti boleh merugikan negara dan menjejaskan perpaduan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Sifat tamak serta rakus pemimpin dan ahli politik yang lebih berminat dalam perebutan kuasa sesama mereka pastinya melelahkan rakyat.
Namun begitu, dengan akses yang semakin meluas, rakyat kini sudah tidak 'buta' dan bijak menilai ahli-ahli politik tempatan apatah lagi dalam menghadapi iklim politik negara yang adakalanya tidak menentu.
Menariknya, semakin ramai yang lantang menyuarakan pandangan mereka dan mula berani mengkritik melalui karya-karya seni yang ditujukan kepada pemerintah.
Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu, berikut Majoriti senaraikan tiga lagu yang dikatakan mempunyai unsur kritikan dan protes terhadap pemerintah.
Aduh Malaysia - Altimet
Lagu ciptaan Altimet, Aduh Malaysia menjadi tular sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Aduh Malaysia merupakan sebuah lagu yang digubah daripada lirik asal Ali Baba dengan 40 Penyamun dan disiulkan oleh penyokong Pakatan Harapan (PH) sepanjang kempen PRU15.
Ia digunakan oleh pemimpin dan jentera PH untuk dijadikan sebagai salah satu bahan kempen, malah menjadi siulan buat penyokong-penyokong tegar gabungan parti ketika itu.
Altimet menganggap lagu 'Hoi Ya Hoi' itu sebagai lagu rakyat dan boleh didendangkan oleh semua parti politik.
Bagaimanapun, setelah Kerajaan Perpaduan dibentuk, netizen mula menyerang dan mengkritik Altimet yang menyindir seolah-olah lagu tersebut telah ‘memakan tuan’ kerana tindakan gabungan parti politik oleh kerajaan.
Altimet, atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, 45, mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Drama – Drama Band
Permohonan maaf daripada Drama Band selepas persembahan mereka di AJL 2020 menerima kecaman hebat. — YouTube Aepul Roza
Drama Band dikenali sebagai antara kumpulan yang berani menampilkan kepelbagaian dalam berkarya menerusi eksperimentasi dalam penyusunan lagu-lagu mereka.
Antara lagu yang pernah mencetuskan kontroversi ialah lagu berjudul 'Drama' yang dipopularkan sekitar tahun 2019.
Drama dikatakan padat dengan mesej mengenai sindiran terhadap selebriti dan ahli politik.
Sebut tentang Drama, pasti ramai yang teringat akan persembahan di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34 pada tahun 2020.
Jalan cerita yang dipamerkan menerusi persembahan itu mencetuskan kritikan dan perdebatan banyak pihak susulan konsepnya yang dilihat cuba mengkritik pemimpin.
Sewaktu mempersembahkan lagu tersebut, band rock itu meniru dialog dalam rakaman audio didedahkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya dalam kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor pada 8 Januari 2020.
Kemudian, muncul dua watak badut, seorang individu lelaki berpakaian korporat dan seorang lagi wanita yang berbaju kurung sambil membawa beberapa beg tangan berjalan di karpet merah.
Kedua-dua watak itu dipercayai menyerupai Najib dan Rosmah, malah mereka diiringi beberapa watak badut lain di pentas.
Sambil berjalan, wanita tersebut sambil melontarkan dialog, “Can I advise you something?”
Kata-kata itu sinonim dengan rakaman audio yang didedahkan Latheefa.
Hukum Karma - Wings
Wings menjadi antara band muzik rock gergasi arus perdana yang lantang menyuarakan kritikan terhadap ahli politik.
Antara lagu yang dikatakan mempunyai unsur protes terhadap pemerintah termasuklah Hukum Karma, Rantai, Bazooka Penaka, Satelit Puaka, Orang Kita, Kiblat Lazer dan 'Midnight Blues'.
Lagu yang dimuatkan dalam album 'Hukum Karma' pada tahun 1988 itu dikatakan luahan hati rakyat terhadap sikap pemimpin yang terlalu gilakan nama, kuasa, harta dan darjat.
Malah, kebanyakannya menganggap Hukum Karma sangat relevan dan sesuai dengan keadaan sekarang yang mana kebanyakan pemimpin sedang gila merebut nama, kuasa dan kedudukan.
Selain itu, lagu 'Bazooka Penaka' juga secara terang-terangan mengkritik hipokrasi pemimpin atasan yang berniat membunuh seni tanah air suatu ketika dahulu.
Lagu yang ditulis oleh Nasir Jani, seorang karyawan seni dan juga aktivitis yang terus aktif memperjuangkan industri seni Malaysia di dalam karya-karya seninya.
Antara lain lirik itu berbunyi, “Bazooka kami, Peluru kami, Berjuang kita tentang kepuraan, Belati kita, Semangat kita, Berjuang kita tentang hipokrasi. Lu persis musang berbulu ayam, Bertuhan syaitan serakah penaka, Lu lah dedalu di batang nafsu, Bertopeng handsome tanpa harga diri (rasa malu) Janganlah lu overacting, Lu terover berlagak (kuasa)." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram