'Ukhwah saya dan Baddrol lebih tinggi dari retorik politik' — Altimet


  • Politik
  • Selasa, 01 Ogos 2023

Altimet (kiri) dan Baddrol kedua-duanya membuat kemunculan pertama untuk bertanding dalam pilihan raya.

"TENANG. Ukhwah saya dan Baddrol duduk lebih tinggi daripada retorik politik. Semoga terus cekal istiqamah, bro Baddrol."

Demikian reaksi ringkas diberikan Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau dikenali sebagai Altimet berkenaan hubungannya bersama legenda bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar.

Ia selepas bekas pemain Sabah yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah itu secara terbuka berkongsikan hantaran mengandungi kritikan terhadap Altimet yang juga bertanding di PRN Selangor kali ini sebagai calon Pakatan Harapan (PH).

Menerusi hantaran di Instagramnya, Baddrol yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun di Kedah itu membuat perkongsian semula mengenai satu posting yang menyerang kredibiliti Altimet.

"Okay lagi Baddrol Bakhtiar daripada Altimet, buat lagu pon makan diri. Inikan pula nak jadi pemimpin," tulis hantaran dikongsikan semula oleh Baddrol pada Isnin.

Tindakan itu ternyata menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan segelintir warganet kerana ia berlaku tidak sampai sehari selepas Altimet yang juga bekas rapper terkenal negara itu tampil mempertahankan Baddrol yang dikritik kerana ucapan dibuat semasa berkempen.

2207241

Tangkap layar Baddrol Bakhtiar ketika memberikan ucapan dalam sebuah program bersama penduduk di Gurun, Kedah.

Ini selepas tular satu video memaparkan Baddrol yang sedang berucap dengan seakan-akan bergantung sepenuhnya kepada teks disediakan sehingga menyebabkan ada pihak menggelarnya sebagai 'Mat PDF'.

Bagaimanapun, Altimet yang turut mengulas mengenai perkara tersebut mempunyai pandangan berbeza terhadap perkara itu dan tampil mempertahankan Baddrol.

"Bagi dia masa. Semua orang mula dalam keadaan kurang mahir. Berucap ni satu kemahiran yang boleh asah dengan berlatih," tulisnya yang bertanding di DUN Lembah Jaya di Selangor menerusi ciapan di Twitternya pada Isnin.

Susulan daripada itu, rata-rata warganet berpandangan sikap ditunjukkan Altimet sesuatu yang positif khususnya dalam persaingan politik di Malaysia.

"Pandangan matang dan tidak memperkecilkan sesama manusia.. steady lah chor," tulis danialhamid79.

"Ini yang kita panggil politik matang Terima kasih kerana menunjukkan contoh. Semoga berjaya," kata azmansamer.

"Kan best ramai orang politik macam ni. Walaupun berlawan, tapi tegur baik dan bagi semangat pihak lawan. Kita beza politik,bukan agama, bangsa dan negara," ujar hakikisyafarudn. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram