PENYANYI rap tanah air, Altimet tampil memberi penjelasan kepada warga maya berhubung peranan seseorang individu yang diberikan tanggungjawab untuk menjadi penyelaras di Dewan Undangan Negeri (DUN) tertentu.
Jelas pemilik nama sebenar Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad itu, penyelaras merupakan kakitangan kerajaan negeri, dengan skop kerja yang hampir sama seperti seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
"Cuma (mereka) tidak ke Dewan, tak bergelaran dan tak bergaji penuh.
"Mereka perantara rakyat dan kerajaan negeri," katanya ringkas.
Sebelum ini, Altimet pernah diberikan amanah oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menggalas amanah sebagai penyelaras di Lembah Jaya selama sembilan bulan sebelum pembubaran DUN.
Jawapan itu diberikan selepas salah seorang pengguna Twitter cuba mempersoalkan tugas sebenar yang dipikul Altimet sebagai penyelaras di DUN Lembah Jaya.
Tangkap layar ciapan balas Altimet di Twitter pada Rabu.
Persoalan itu ditimbulkan menerusi komen di ciapan calon DUN Lembah Jaya daripada Perikatan Nasional (PN), Sharifah Haslizah Syed Ariffin pada Rabu.
"Apa sebenarnya tugas penyelaras tersebut? Dan mungkin sebutkan dari sudut sumbangan, boleh?" soal Sulaiman Ismail.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet seolah-olah berpuas hati apabila melihat Altimet sendiri yang membalas ciapan 'bias' tersebut.
"Mantap calon terus jawabkan," kata @rashdankhalid_.
"Wah, terus ulti mat. Steady calon jawabkan terus," ciap @perdanamentari.
DUN Lembah Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Altimet dengan Sharifah Haslizah yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Ampang.
Untuk rekod, kerusi Lembah Jaya sebelum ini disandang Haniza Mohamed Talha (Parti Keadilan Rakyat), namun kini menjawat jawatan Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) dengan majoriti 14,790 selepas memperoleh 22,512 undi.
Beliau menewaskan Muhamad Nizam daripada Barisan Nasional (7,722 undi), Khasim Abdul Aziz (PAS), 7,358 undi dan Norizwan (Parti Rakyat Malaysia), 177 undi yang kehilangan wang deposit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram