BEKAS Ketua Pengarah Institusi Kefahaman Islam (IKIM), Datuk Dr Abdul Monir Yaacob diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun ini.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff semasa Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2023M.
Selain itu, Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakr Amad pula diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah, termasuk wang tunai dan sijil penghargaan kepada kedua-dua tokoh tersebut.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Pemilihan kedua-dua tokoh itu adalah berdasarkan sumbangan besar mereka dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam selain mendapat pengiktirafan serta diterima masyarakat.
Kedua-dua tokoh berkenaan juga memiliki pengetahuan dan pengalaman yang luas serta mempunyai sifat dan peribadi yang unggul untuk dicontohi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram