Selesai pulangkan RM2.1 juta, Emraz bakal hantar 5,000 jemaah umrah tahun ini


  • Bizz
  • Khamis, 20 Jul 2023

Emraz dijangka menerbangkan 5,000 jemaah umrah dalam tempoh enam bulan kedua tahun ini.

PENGELOLA Jemaah Haji (PJH) Emraz Travel & Tours Sdn Bhd dijangka menerbangkan 5,000 jemaah umrah dalam tempoh enam bulan kedua tahun ini.

Syarikat itu dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, penerbangan pertama selepas musim haji tahun ini bermula pada 19 Julai dan berakhir pada Disember.

"Bagi Julai, seramai 250 jemaah bakal berangkat ke Tanah Suci. Penerbangan jemaah merupakan antara tindakan segera dilaksanakan pihak syarikat selain mematuhi arahan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), bagi tujuan memulihkan operasi Emraz yang terjejas sebelum ini," katanya.

Seramai 250 jemaah bakal berangkat ke Tanah Suci Julai ini.

Menurut kenyataan itu, sehingga kini, pihak syarikat juga sudah mengembalikan wang berjumlah RM2.1 juta melibatkan 421 jemaah yang terjejas penerbangan umrahnya sebelum ini.

Tambahnya, pada masa sama, Emraz sedang giat melaksanakan proses penstrukturan semula syarikat dalam usaha untuk kembali berdaya saing dan menjadi antara pemain utama dalam pasaran di negara ini.

"Pihak pengurusan yakin dapat beroperasi seperti mana biasa dalam jangka masa terdekat," jelasnya.

Emraz pernah menerbangkan lebih 30,000 orang jemaah umrah sebelum ini.

Sebelum ini, Lembaga Tabung Haji (TH) membuat keputusan menggantung lesen Emraz selama enam bulan mulai 10 Julai 2023 sebagai langkah awal melindungi kebajikan bakal jemaah haji.

TH dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu diambil berikutan makluman beberapa aduan awam berkenaan perkhidmatan umrah yang diberikan syarikat tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram