Lunak mengaji, perangai gila-gila, ibu dua anak tak sangka jadi 'TikTok femes'


Tangkap layar ketika Khai sedang membuat video 'live' bersama pengguna TikTok yang lain.

STATUS sebagai seorang isteri dan ibu tidak menghalang Nabiha Khairani Ishrolkhir, 25, untuk menjadi pencipta kandungan atau content creator sepenuh masa di laman TikTok.

Niatnya hanya untuk mencari sumber pendapatan tambahan bagi meringankan beban suaminya yang bekerja dalam bidang pemasaran untuk menyara keluarga kecil mereka.

"Saya rasa memang kena ada pendapatan (sendiri) supaya tidak ada cakap-cakap belakang. Saya bersyukur suami memahami, lagipun ini (TikTok) untuk masa depan kami sekeluarga.

"Pada awalnya, saya hanya menjadi TikTok Affiliate untuk menjual barang-barang. Saya menjual dengan cara bercakap-cakap untuk promosikan barangan tersebut.

"Di TikTok orang suka konten yang unik dan gila, sebab itu perangai saya yang agak 'gila-gila' boleh tarik perhatian orang", katanya kepada Majoriti.

Keletahnya yang selamba dan menghiburkan dalam setiap konten yang dikongsikan di TikTok berjaya mencuit hati netizen.

Ibu kepada dua cahaya mata itu mengakui, pada awalnya bukan mudah untuk menarik pengguna maya 'singgah' ke akaun miliknya.

Namun begitu, lama-kelamaan dia yang lebih mesra dipanggil Khai bersyukur kontennya semakin diterima ramai sehingga kini berjaya mengumpul lebih 200,000 pengikut.

Khai pernah mendapat hadiah 'singa' selama dua hari berturut-turut.

"Tak sangka video saya menunjukkan reaksi teruja selepas mendapat hadiah semasa sesi siaran langsung banyak dikongsi sehingga masuk For You Page (FYP) TikTok dan pengikut saya juga semakin bertambah.

"View live juga semakin meningkat, mungkin kerana mereka suka mendengar saya mengaji semasa live tersebut," katanya yang membuka akaun TikTok dengan nama @flowergaf_ sejak Julai tahun lalu.

Kemahirannya berbicara dalam bahasa Mandarin, Tamil, Hindi, Inggeris dan Tagalog turut menarik perhatian ramai pengguna media sosial daripada pelbagai bangsa dan negara.

Malah, kelebihannya itu mendatangkan untung buat dirinya apabila dia sering menerima hadiah mahal bernilai ribuan ringgit menerusi 'Gift TikTok' semasa membuat siaran langsung.

"Saya juga pernah dapat 'singa' dua hari berturut-turut dan hadiah TikTok Universe daripada pengikut saya. Bersyukur sangat-sangat, rezeki itu tak tahu nak cakap macam mana," kongsinya.

Namun, sebagai seorang isteri dan ibu, dia mengakui agak sukar untuk membahagikan masa untuk menguruskan keluarga dan dalam masa sama mencari idea serta mengedit videonya.

"Saya ada seorang anak perempuan (berumur) dua tahun yang masih menyusu badan. Jadi sambil menyusukan dia, itu jugalah masa yang saya gunakan untuk edit video dan membalas komen.

"Kalau suami ada, dia akan bantu jagakan makan minum dan keperluan anak-anak, sambil itu saya buat live," luahnya.

Perangainya yang 'gila-gila' berjaya menarik perhatian orang ramai.

Wanita berasal dari Kulai, Johor itu turut berkata, penting untuk seseorang mengetahui niat dan tujuannya sebelum berkongsi konten di laman TikTok atau mana-mana media sosial lain.

"Penting betulkan niat, apa yang kita nak buat dengan TikTok ni, kalau rasa ada bakat atau kebolehan, tunjukkanlah, sebab kita tak tahu rezeki kita macam mana.

"Kita tidak akan lari daripada dikecam mahupun mendapat sokongan, tapi kalau niat betul, contohnya nak cari pendapatan dan sebagainya, kita cuba ambil yang positif dan buang perkara negatif," katanya.

Berkongsi tentang kemahiran menguasai bahasa asing, dia yang mempunyai ramai kenalan berbangsa India dan Cina berpeluang mempelajari bahasa Mandarin, Tamil dan Hindi sejak di bangku sekolah lagi.

"Sejak dari sekolah rendah, memang saya ada ramai kawan bangsa India dan Cina, jadi saya belajar bila bersembang dengan mereka.

"Saya akan selalu tanya mereka maksud perkataan yang saya dengar, dan belajar daripada situ," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram