KEMATIAN insan tersayang merupakan satu takdir pahit yang harus ditelan.
Kematian itu pasti tidak kira walau di mana seseorang itu berada dan dalam apa jua keadaan sekalipun.
Tiada siapa yang menginginkan orang tercinta pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya, apatah lagi dalam keadaan tidak bersedia.
Berikut Majoriti senaraikan beberapa selebriti tanah air yang menghembuskan nafas terakhir semasa tidur.
Azmil Mustapha
1. Azmil Mustapha
Pelakon popular era 80-an itu dilaporkan meninggal dunia dalam tidur apabila tidak bangun selepas dikejutkan oleh ahli keluarganya.
Allahyarham yang terkenal dengan wataknya sebagai Ali dalam filem Ali Setan meninggal dunia di kediamannya di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor pada 14 Februari 2018.
Aktor Terbaik di Festival Filem Malaysia 1986 itu meninggalkan dunia glamor ketika namanya berada di kemuncak kerjaya sekitar 1980-an.
Allahyarham mula mendalami ilmu agama dan gaya hidup dan kebudayaan masyarakat Arab setelah berhijrah ke Damascus, Syria bersama empat orang anaknya.
Idris Mat Diah
2. Idris Mat Diah
Pelakon veteran, Idris Mat Diah meninggal dunia di Presint 9, Putrajaya pada usia 61 tahun selepas didapati tidak sedarkan diri kira-kira pukul 2 pagi pada 14 September 2020.
Idris yang dikenali sebagai watak Pak Andak menerusi drama bersiri popular 7 Hari Mencintaiku 2.
Sepanjang kerjaya lakonannya, Allahyarham dikenali menerusi watak sebagai bapa dan datuk dalam kebanyakan drama lakonannya.
Selain membintangi filem Janin pada tahun 2010, Gamatisme (2015) dan Dendam Pontianak (2019), arwah pernah memegang watak dalam pelbagai drama antaranya Halimah Jongang The Series (2010), Cinta Si Wedding Planner (2015), Jalan Sesat Ke Syurga (2020), Love You Mr. Arrogant (2013) dan Andainya Takdir (2017).
Idris juga pernah berkhidmat sebagai pustakawan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada 1980-an.
Mimi Loma
3. Mimi Loma
Pelakon dan penyanyi era 1960-an, Siti Aminah Ismail, 75, meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Kuala Lumpur pada pukul 2.19 pagi.
Lebih dikenali dengan nama pentasnya, Mimi Loma, Allahyarhamah merupakan adik kepada biduanita negara, Allahyarhamah Puan Sri Saloma dan seniwati Allahyarhamah Mariani Ismail, serta adik ipar kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Artis yang menempa populariti pada era 1960-an itu menghembuskan nafas terakhir selepas beberapa hari dalam keadaan lemah dan kurang selera makan akibat mengalami cirit birit.
Allahyarhamah pernah membintangi filem Ahmad Albab pada tahun 1968 dan meninggalkan seorang anak dan tiga cucu.
Mimi Loma difahamkan sudah lama uzur akibat penyakit darah tinggi dan mempunyai masalah penglihatan.
Umi Kalthum
4. Umi Kalthum
Seniwati filem Melayu klasik, Datin Umi Kalthum, menghembuskan nafas terakhirnya ketika sedang tidur pada 24 Julai 2013 pada usia 80 tahun di rumah salah seorang anaknya di Taman Melawati, Ampang, Kuala Lumpur.
Pemilik nama sebenar Patimah Bahaudin merupakan heroin filem Melayu klasik yang terkenal dengan wataknya sebagai Putih dalam filem Bawang Putih Bawang Merah (1959) selain Raden Mas, Laila Majnun, Menanti Hari Esok dan Syukur 21.
Lebih menyedihkan, Allahyarhamah sempat menitipkan sekeping nota tulisan yang diletakkan atas meja solek di rumah salah seorang anaknya.
Nota tersebut antara lain menyenaraikan barang keperluan yang perlu disimpan dan harus digunakan sekiranya dia meninggal dunia.
Umi Kalthum pernah dipilih majalah antarabangsa terkemuka, Life sebagai Wanita Melayu Paling Jelita di seluruh Singapura dan Tanah Melayu.
Allahyarhamah juga merupakan ibu kepada seniwati, Noor Kumalasari dan ibu tiri kepada penyanyi versatil, Anita Sarawak.
Hon Yit Sin
5. Hon Yit Sin
Dikenali menerusi sitkom popular, Empat Sekawan, pelakon, Hon Yit Sin dikhabarkan meninggal dunia dalam tidur di Raub, Pahang pada 4 September 2022.
Yit Sin memulakan kerjaya dalam industri hiburan menerusi rancangan radio pada tahun 1949. Kemudiannya, Yit Sin menubuhkan kumpulan Getai bersama tiga sahabat baiknya, Datuk Lai Meng, Hoi Yong dan Wong Hor.
Rancangan Empat Sekawan yang menggunakan dialek Mandarin, Hakka, Hokkien dan Kantonis berjaya memperoleh populariti hingga akhirnya diangkat sebagai sitkom di RTM antara tahun 1966 hingga 1988.
Pelakon itu memulakan kerjaya dalam industri seni tanah air sekitar 1960-an. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram