NAMA pelakon dan pelawak, Bell Ngasri kembali mencetuskan fenomena dalam industri hiburan tanah air sejak minggu lalu.
Segalanya bermula selepas beliau atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri dicalonkan dalam kelompok Top 5 bagi kategori Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35.
Pencalonan tersebut ternyata menimbulkan keterujaan dan rasa terharu dalam kalangan peminat seni tanah air.
Ini kerana, Bell yang terkenal dengan watak Barkoba yang dibawanya menerusi siri telefilem 16 Puasa itu disifatkan tidak mendapat penghargaan yang sepatutnya meskipun sudah lebih tiga dekad menghiburkan rakyat Malaysia.
Namun begitu, meskipin lebih sinonim dengan watak komedi, ramai daripada peminat tidak mengetahui bahawa di awal kariernya sebagai pelakon, beliau turut pernah memegang watak yang serius seawal ketika berusia 12 tahun menerusi filem Kaki Bakar.
Lebih mengagumkan, filem yang disutradarai pengarah tersohor negara, U-Wei Haji Saari itu turut mencipta kejayaan apabila menjadi filem pertama dari Malaysia ditayangkan di Festival Filem Cannes, Perancis yang sangat berpengaruh di pentas antarabangsa.
Dalam filem tersebut, Bell memegang teraju utama dengan bergandingan bersama pelakon disegani di dalam negara, Allahyarham Khalid Salleh dan membawa watak sebagai anak dan ayah.
Pengarah, U Wei Hj Shaari.
Filem yang merupakan adaptasi daripada novel Barn Burning tulisan penulis Amerika Syarikat, William Faulkner itu mengisahkan mengenai pergelutan krisis jati diri dialami Kakang (Khalid) selepas merantau ke Malaysia.
Usaha Kakang untuk memupuk nilai tradisi keturunannya sebagai orang Jawa di negara baharu itu memberikan kesan mendalam terhadap anaknya yang diberikan nama Kesuma (Bell).
Menyorot kembali pengalamannya terlibat dalam filem tersebut, Bell berkata, beliau sebelum itu sudah pun berlakon dalam filem arahan U-Wei bertajuk Perempuan, Isteri Dan.... yang ditayangkan pada 1993.
Pada ketika itu, dia hanya membawa watak sambilan dan muncul dalam sekitar dua babak.
Bagaimanapun, Bell berkata, U-Wei kembali melamarnya untuk memegang watak dalam Kaki Bakar selepas tertarik dengan kebolehannya berlakon dalam drama khas bertajuk Bunga-Bunga Pulau.
Drama tersebut juga membolehkannya tercalon sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam Anugerah Sri Angkasa yang diadakan sekitar awal tahun 1990-an.
"Jadi masa itu, rupanya dia pun tengok drama dan dia terus panggil saya untuk buat screen test bagi filem baharunya. Alhamdulillah waktu itu saya lepas.
"Disebabkan saya dah boleh berlakon, mungkin sebab itu dia diberikan saya peranan yang lebih besar," katanya kepada Majoriti.
Bell berkata, pada waktu itu, dia amat teruja dengan peluang yang diberikan untuk bekerja bersama pelakon berpengalaman tanah air lebih-lebih lagi dirinya pada waktu itu baru berusia belasan tahun.
Bell (kiri) dan Khalid membawakan watak sebagai anak dan ayah dalam filem Kaki Bakar.
Jelasnya, antara detik paling diingatinya ketika penggambaran adalah apabila beliau diminta melakonkan babak penutup filem tersebut ketika pukul 4 pagi.
"Dalam cerita itu, ada satu babak tu akhir yang saya perlu bermonolog daripada skrip sepanjang dua muka surat yang perlu dihafal. Kemudian babak itu juga memerlukan saya melontarkan dialog sambil berlari setempat.
"Jadi bayangkan penggambaran itu dibuat waktu tengah-tengah pagi buta pukul empat dan saya pula waktu itu baru 12 tahun," katanya yang menyatakan masih mengingat kesemua dialog tersebut sehingga hari ini.
Bell kini lebih dikenali dengan watak komedi.
Dalam pada itu, beliau mengakui adalah menjadi satu kebanggaan apabila filem lakonannya itu mendapat tempat di festival filem antarabangsa dan ditonton oleh masyarakat luar negara.
“Waktu tu, uncle U-Wei pun ada bagitahu dekat saya ada mat salih yang suka tengok saya berlakon,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram