Sekuel seram, naskhah fantasi antara 5 filem bakal pecah panggung Julai ini


  • Hiburan
  • Sabtu, 01 Jul 2023

Filem siri Insidious bakal membuka tirai filem bakal pecah panggung untuk Julai ini. — Agensi

JULAI tahun ini bakal menjanjikan kepuasan yang maksimum buat semua pencinta filem khususnya produk buatan luar negara.

Memandangkan platform penstriman kini semakin mendapat tempat di hati peminat, beberapa filem akan disiarkan menerusi platform penstriman atau Over The Top (OTT) yang berbeza.

Namun tidak semua kerana masih terdapat beberapa filem pecah panggung lain yang bakal menggegarkan pawagam tempatan.

Dengan filem pelbagai genre yang bakal dihidangkan, daripada filem seram hingga komedi, anda pasti tak menang tangan untuk memilih filem apa yang ingin ditonton bersama insan tersayang.

Jom Majoriti senaraikan lima filem yang anda patut layan.

1) Insidious: The Red Door (7 Julai 2023)

Filem siri Insidious membuka tirai filem bakal pecah panggung untuk Julai ini. Walaupun terdapat banyak filem seram yang ditayangkan setiap tahun, boleh dikatakan agak sukar untuk mencari filem seram yang benar-benar menakutkan hingga boleh terbawa-bawa hingga ke mimpi.

Siri kelima filem Insidious itu tetap akan menfokuskan tentang keluarga Lambert. Namun, apa yang baharu dalam filem ini adalah latar waktunya yang sudah berganti. Filem ini mengisahkan tentang kehidupan keluarga Lambert 10 tahun pasca insiden yang terjadi dalam Insidious: The Last Key (2008).

2) Mission: Impossible – Dead Reckoning Part One (12 Julai 2023)

Sudah 27 tahun sejak filem Mission: Impossible pertama ditayangkan. Tidak dapat dinafikan lagi, penampilan pelakon utama, Tom Cruise dengan aksi lagak ngerinya dalam setiap filem baharu tersebut menjadi antara faktor menarik peminat filem ke pawagam.

Filem itu merupakan sekuel ketujuh daripada filem yang dibintangi Tom Cruise pada usia 60 tahun.

Filem garapan Christopher McQuarrie itu berkisarkan tentang Ethan Hunt yang masih melanjutkan misi sebagai ejen Impossible Missions Force (IMF). Ethan Hunt dan ejen IMF lainnya akan melakukan pelbagai aksi ngeri untuk menakluk senjata berbahaya.

Senjata tersebut sangat menakutkan karena boleh mengancam kehidupan manusia jika ia jatuh ke tangan yang salah. Ethan Hunt berusaha mencari senjata tersebut dengan mempertaruhkan masa depan dan nasib dunia.

Berjayakah Ethan Hunt mendapatkan senjata tersebut? Saksikan filem Mission: Impossible – Dead Reckoning Part One di pawagam berdekatan anda.

3) Theater Camp (14 Julai 2023)

Berbanding filem lain dalam senarai ini, Theater Camp mungkin tidak begitu sering diperkatakan oleh warga maya, namun ia masih layak mendapat tempat dalam senarai tontonan Julai 2023.

Theater Camp mengisahkan tentang kejadian pada musim panas, apabila sekumpulan remaja berkumpul dari pelbagai tempat untuk mengikuti AdirondACTS, iaitu perkhemahan teater di daerah utara New York.

Setelah pengasasnya, Joan (Amy Sedaris) mengalami koma, anak lelakinya yang tidak memahami apa-apa, Troy (Jimmy Tatro) terpaksa menggalas tanggungjawab bapanya untuk memastikan kelangsungan kem tersebut.

Theater Camp dibintangi oleh bintang berbakat besar, Molly Gordon, Ben Platt dan Noah Galvin.

4) Oppenheimer (21 Julai 2023)

Oppenheimer merupakan filem biopik yang menceritakan tentang seorang ahli fizik, J. Robert Oppenheimer yang mencipta bom atom.

Pembikin filem terkemuka, Christopher Nolan dikenali dengan kepakarannya menghasilkan filem yang menarik, justeru tidak hairanlah Oppenheimer kini menjadi antara filem yang termasuk dalam senarai wajib tonton.

Filem Oppenheimer berlatarbelakangkan zaman Perang Dunia Kedua, yang mana J. Robert Oppenheimer merupakan salah seorang individu yang berperanan dalam The Manhattan Project, iaitu sebuah penelitian dan pengembangan produksi senjata nukelar pada Perang Dunia Kedua.

5) Barbie (21 Julai 2023)

Barbie merupakan filem Hollywood terbaharu yang akan ditayangkan pada Julai nanti.

Daripada semua tayangan filem yang dijadualkan pada Julai 2023, kemungkinan besar filem ini adalah yang paling dinanti-nantikan rakyat Malaysia.

Memandangkan Barbie adalah salah satu permainan kanak-kanak yang popular, tidak hairanlah penonton tidak sabar-sabar untuk melihat bagaimana Barbie yang dibintangi Margot Robbie dan Ryan Gosling memainkan watak masing-masing.

Cerita ini memfokuskan Barbie dan Ken yang menjalani kehidupan sempurna di Barbie Land, namun saat diberi peluang untuk menjalani kehidupan sebenar, mereka mula menyedari bahawa hidup sebagai manusia sebenar adalah tidak mudah.

Buat anda yang tertanya-tanya bagaimana kehidupan Barbie dan Ken sebagai manusia, anda wajib layan filem ini. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram