MENJELANG perayaan Hari Raya Aidiladha, pastinya seluruh umat Islam tidak sabar untuk menikmati daging korban yang akan diagih-agihkan.
Sudah tentu pelbagai menu berasaskan daging akan disediakan untuk menjadi santapan seisi keluarga.
Tapi muncul persoalan, adakah ibu hamil boleh makan daging korban tanpa meninggalkan sebarang komplikasi kepada diri dan anak dalam kandungan?
Menjawab persoalan tersebut, pemilik akaun TikTok bernama DrTwins telah memuat naik satu video pada Khamis bagi menjelaskan perkara berkenaan.
Perkongsian itu dibuat oleh dua orang doktor yang juga merupakan pasangan adik-beradik kembar.
Menurutnya, rendang daging mempunyai jumlah kalori yang sangat tinggi, jadi ibu-ibu hamil terutamanya yang mempunyai tekanan darah tinggi tidak digalakkan untuk makan.
“Rendang daging ni memang sedap, tapi mummies terutamanya yang ada tekanan darah tinggi atau BMI (indeks jisim tubuh badan) tak normal kena jaga-jaga.
“Rendang daging ni sangat tinggi kalori. Satu sajian boleh naik lebih daripada 500 kalori (set rendang daging tambah nasi).
“Katakan dalam seminggu tu setiap hari nak makan rendang daging, takut naik berat badan secara mendadak,” katanya.
Semua sedia maklum, daging korban yang biasanya diedarkan selepas proses penyembelihan merupakan daging yang masih merah dan segar.
Tangkap layar video perkongsian mengenai ibu hamil dan daging korban yang dimuat naik di TikTok DrTwins pada Khamis.
Justeru, ia berisiko meningkatkan tekanan darah bagi individu yang menjamah daging berkenaan.
“Jadi, ibu-ibu mengandung yang memang ada hypertension in pregnancy meningkatkan risiko lagi untuk dia dapat pre-eclampsia,” tambahnya.
Malah katanya, 80 peratus daripada ibu hamil akan mengalami simptom pedih ulu hati atau Gastroesophageal Reflux Disease (GERD).
Untuk makluman, GERD ialah gangguan penyakit pencernaan kronik yang berlaku apabila asid dalam perut atau ada kala kandungan perut mengalir semula ke dalam saluran esofagus (laluan antara mulut dan perut).
“Ia adalah keadaan yang mana kita akan rasa heart-burn, rasa pedih sampai ke rongga. Rendang daging masa raya haji kebiasaannya mesti (akan dimasak dengan) pedas.
“Pedas inilah yang akan meningkatkan risiko untuk lebih dapat GERD,” kongsinya.
Dalam pada itu, mereka turut menjelaskan, daging korban yang tidak dimasak dengan betul akan mendedahkan ibu hamil kepada bakteria seperti Salmonella, Yersinia ataupun E.Coli.
“Daging tu kena pastikan betul-betul masak sebab kalau undercooked, dia akan expose ibu-ibu hamil kepada bakteria.
“Kalau overcooked pula, yang hitam-hitam tu, apabila terlebih masak, ia akan ada carcinogenic agent yang akan meningkatkan lagi risiko ibu-ibu hamil untuk dapat kanser,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram