SIAR: Sebelum jadi Sarjan Misai, A. Galak rupanya pernah bergelar jurusolek Jalan Ampas


  • Hiburan
  • Ahad, 05 Mac 2023

A. Galak sudah membintangi lebih 50 naskhah sepanjang penglibatan dalam dunia seni sejak 1980-an.

BAGI peminat setia industri hiburan tanah air tentu sahaja mengenali pelakon veteran popular, A. Galak yang terkenal dengan watak Sarjan Hashim atau digelar Sarjan Misai.

Pemilik nama sebenar Zakaria Ahmad itu juga pernah bergelak sebagai jurusolek pelakon lelaki di Studio Jalan Ampas, Singapura.

Ibunya, Rokiah Jaafar yang juga seorang anak seni dan membintangi beberapa buah filem antara Antara Senyum Dan Tangis dan Putus Harapan sekitar 1960-an.

Mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi, A.Galak juga beberapa kali muncul sebagai pelakon tambahan di layar hitam putih antaranya Ali Baba Bujang Lapok, Gerak Kilat, Lampong Karam dan Aksi Kucing.

Berawal dengan suka-suka, A. Galak kemudian bergiat aktif sebagai pelakon sekitar 1980-an.

Kini beliau sudah membintangi lebih 50 buah karya filem dan drama televisyen.

Berikut antara filem yang menyerlahkan kerjaya lakonan setelah hampir empat dekad bergelumang dalam industri hiburan.

Azura, 1984

Filem cinta malar segar arahan Deddy M.Borhan memperlihatkan gandingan romantik Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah dengan Fauziah Ahmad Daud atau lebih dikenali sebagai Ogy.

Difahamkan, naskhah ini antara karya awal yang dibintangi A. Galak sebelum serius dalam kerjaya lakonan.

Membawakan watak sebagai Datuk Puteh iaitu bapa kepada Zack (Jamal Abdillah) yang menentang perkahwinan anaknya dengan Azura (Ogy).

Datuk Puteh memujuk Azura meminta agar Zack melanjutkan pelajaran ke luar negara demi masa depannya. Bagaimanapun, Datuk Puteh kemudian mengaku membuat kesilapan dan akhirnya merestui hubungan mereka.

Juara, 1981

Membawakan watak sebagai bapa bernama Aziz, filem arahan Yusof Kelana ini turut menampilkan beberapa artis popular era 1980-an seperti Sidi Oraza, Salih Yaacob, Raja Azura dan Juliza Adzlizan.

Di samping itu, filem ini turut dibintangi oleh bekas atlet bina badan negara, Datuk Malek Noor.

Konflik bermula apabila hubungan adik beradik iaitu Malek, Sidi, Busul dan Ira renggang dan masing-masing memilih untuk membawa haluan sendiri setelah bapa mereka dimasukkan ke hospital mental.

Perkara itu lebih merumitkan apabila muncul kehadiran ahli kongsi gelap yang cuba untuk mencederakan salah seorang daripada adik beradik tersebut.

Bayangan Maut, 1981

Pelakon, pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam antara individu yang akrab dengan A. Galak dan memberikan peluang untuk membintangi beberapa buah filem arahannya.

Salah satu daripada karya beliau ialah filem Bayangan Maut yang menampilkan dua bintang rock popular 1990-an, Datuk Awie dan Ella.

Dalam filem itu, A. Galak membawakan watak sebagai Taji Samprit yang merupakan ketua kongsi gelap dan terlibat dalam sindiket pengedaran dadah serta penyeludupan senjata api.

Darah Satria, 1983

Filem ini memaparkan perjuangan wira negara daripada Rejimen Askar Melayu Diraja yang menentang puak komunis.

Filem arahan Datuk Aziz Satar ini mengisahkan Leftenan Ariff yang mengetuai pertempuan menentang pengganas.

Memegang watak sebagai Sarjan Razak, filem perjuangan ini nyata menyentuh perasaan terutama mengenangkan kesungguhan anggota barisan hadapan mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

Gerak Khas The Movie 3

Gerak Khas merupakan satu nama besar dalam industri hiburan dan cukup sinonim dengan plot penceritaan kepolisan.

Filem Gerak Khas The Movie 3 atau GK3 mempamerkan A. Galak membawakan watak sebagai Sarjan Hashim yang iaitu anggota unit Gerak Khas.

Dalam siri ketiga itu, anggota polis terdiri daripada Inspektor Aleeza, Inspektor Haris, Inspektor Farah bersama beberapa yang lain berusaha menangkap penjenayah bernama Ramon.

Selain A. Galak, filem arahan Datuk Yusof Haslam ini turut dibintangi oleh Che Puan Sarimah Ibrahim, Abby Abadi, Norman Hakim, Faizal Hussein, Misha Omar, Aqasha, Elly Mazlein, Saiful Apek dan Memey Suhaiza. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram