DJ Dave seru semua yayasan anak seni bersatu di bawah satu payung, perjuang nasib artis tempatan


  • Hiburan
  • Rabu, 24 Mei 2023

DJ Dave dan Roslan Shah menghadiri rumah terbuka di Menara Star ​​​​​​​pada Selasa.

PENYANYI veteran, Datuk DJ Dave menyeru agar semua yayasan berkaitan anak seni bersatu dan bekerjasama di bawah satu bumbung dalam memperjuangkan nasib mereka.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) berkata, keadaan itu akan lebih mudah untuk artis tempatan membincangkan isu yang berbangkit dalam kalangan mereka, seterusnya membawa perkara itu ke peringkat kementerian.

"Yayasan perlu bersatu, sebab sekarang kita tengok ada macam-macam (jenis) yayasan. (Sebaiknya) semua yayasan mesti berada di bawah satu payung barulah kita boleh bawa (isu) ke kerajaan untuk minta apa yang kita nak.

"Sekarang berpecah belah, jadi saya berhasrat semua orang dapat bergabung. Mungkin wujudkan satu yayasan besar yang memfokuskan untuk kebajikan, atau satu lagi yayasan untuk fokus kerjaya sahaja.

"Anak seni kena bersatu, tidak boleh bergaduh sesama sendiri untuk mencapai matlamat kita," katanya.

DJ Dave

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka anjuran Majoriti, Majoriti7 dan Mstar di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Mengulas isu mengenai sebahagian artis lama masih menerima bayaran rendah, penyanyi berusia 75 tahun itu memberi cadangan agar Kementerian Komunikasi dan Digital memperkenalkan kaedah pembayaran minimum untuk golongan tersebut.

"Ada (artis) kategori A, kategori B, (persoalannya) siapa yang buat indeks itu? Oleh itu, saya harap satu kaedah (akan diperkenalkan), di mana artis veteran diberi bayaran minimum tertentu," ujarnya.

Selain itu, kata beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga boleh membantu artis veteran dengan memberi sumbangan berbentuk wang dalam majlis tertentu.

"Saya rasa mereka boleh beri ruang kepada artis veteran, supaya bila ada jamuan seperti ini, kementerian boleh jemput mereka dan beri bantuan sekurang-kurangnya minimum RM2,000 hingga RM3,000. Ini sedikit sebanyak boleh membiayai pembelanjaan mereka," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram