Reda insan tersayang hanya pinjaman, DJ Lin 'paksa' diri kuat depan anak-anak


  • Hiburan
  • Khamis, 27 Apr 2023

DJ Lin dengan imej berhijab meraikan Syawal di kampung halaman bersama dua anaknya.

BERITA duka yang diterima penyampai radio Suria FM, DJ Lin tentang kehilangan abang tersayang, Allahyarham Mohd Yusof Abdul Majid ketika menunaikan umrah Mac lalu sedikit sebanyak memberi kesan kepada sambutan Aidilfitiri tahun ini.

DJ Lin atau nama sebenarnya, Roslinda Abdul Majid, 48, berkata, dia awalnya berasa canggung untuk meraikan pagi Syawal tanpa kehadiran dua insan tersayang iaitu arwah abang dan ibunya, Allahyarham Puteh Jantan.

“Awalnya apabila duduk seorang diri, saya ada terfikir bagaimana hendak sambut raya, terutama apabila pagi raya kami adik beradik berkumpul bermaaf-maafan dan bagi duit raya.

“Raya kali ini agak berbeza pula. Walaupun ada terdetik untuk beraya saja di luar negara, tetapi ahli keluarga lain mengajak untuk beraya bersama-sama.

“Ajakan dan soalan pulang beraya atau tidak itu meruntun hati saya. Saya pulang beraya di kampung dan berpendapat, sebagai insan yang masih hidup, saya ada tanggungjawab untuk membahagiakan mereka,” katanya kepada Majoriti.

majoriti2023 (21)

DJ Lin bersama sebahagian ahli keluarganya yang menyambut Syawal di Larkin pada tahun ini.

Dalam pada berhari raya di kampung halaman di Larkin, Johor, DJ Lin turut memberitahu anak-anak menjadi kekuatan buatnya terus tabah mengharungi apa jua cabaran hidup.

Jelasnya, sebagai ibu kepada dua cahaya mata Nureen Aresya, 22, dan Nazren Asyran, 20, dia enggan mempamerkan kesedihan di hadapan anak-anak.

“Saya ada dua anak, saya perlu tunjuk kuat depan anak. Apa pun dugaan dan cabaran, apa saja yang meragut emosi, saya perlu kuat depan anak-anak.

“Saya juga terima kehilangan dan reda bahawa setiap insan yang berada di sekeliling kita ini hanya pinjaman,” ujarnya.

Sementara itu perkembangan lain, DJ Lin yang kini sudah tampil mengenakan hijab selepas pulang daripada menunaikan umrah.

raya akhir

Saksikan lakonan barisan penyampai radio Suria FM dalam Raya Akhir bersama selebriti veteran, Uji Rashid.

Kata DJ Lin, dia kini berasa lebih tenang dan berterima kasih kepada individu yang banyak mendoakan kesejahteraan dirinya.

“Sudah lama saya fikirkan untuk berhijab dan menutup aurat sepenuhnya. Alhamdulillah, ALLAH permudahkan semua itu untuk saya.

“Terima kasih juga kepada peminat yang banyak mendoakan. Selepas saya kongsikan gambar berhijab di media sosial, ramai peminat yang menghantar mesej terus (direct message) mengatakan gembira dan syukur dengan perubahan itu,” terangnya.

Untuk rekod, DJ Lin bersama barisan penyampai radio Suria FM turut muncul dalam karya istimewa bertajuk Raya Akhir dengan penampilan artis veteran, Uji Rashid di platfom media sosial rasmi Suria FM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram