DENGAN sekali lafaz, selebriti popular tanah air, Janna Nick telah selamat dinikahkan dengan kekasih hatinya, pelakon kacukan Melayu-Switzerland, Dini Schatzmann.
Majlis yang berlangsung secara tertutup di sebuah resort terkemuka di Langkawi, Kedah pada pagi Sabtu menamatkan segala teka-teki dalam perhubungan mereka yang sebelum ini dikhabarkan telah putus.
Dini, 29, menyerahkan mas kahwin bernilai RM2,703 kepada Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 28 beserta seutas rantai emas.
Jumlah mas kahwin tersebut merupakan simbolik tarikh perkenalan pasangan merpati dua sejoli itu pada 27 Mac 2019.
Janna dan Dini dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan sendiri, Muner Abdullah dengan bersaksikan Pengerusi Masjid Aisyah, Othman Yahya serta sepupu kepada Janna, Amir Fikri dan Amar Fikri.
Janna dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Muner Abdullah. — Facebook
Majlis resepsi tersebut difahamkan hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak termasuk rakan baik artis seperti Mawar Rashid, Nora Danish, Ain Edruce, Dayah Bakar dan ramai lagi.
Memetik laporan media, Dini atau nama penuhnya Dini Azan Schatzmann menzahirkan rasa syukur ke hadrat Illahi atas kelancaran perkahwinannya dan mengakui teruja untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami kepada permaisuri hatinya.
Anak bongsu daripada dua beradik itu turut berharap agar setiap langkah mereka dalam melayari bahtera rumah tangga sentiasa mendapat keberkatan daripada ALLAH SWT.
“Alhamdulillah, rasa terpaling bahagia dan lega juga apabila majlis pernikahan ini sudah selesai dan berjalan lancar.
“Maka bermulalah perjalanan baharu kami sebagai suami isteri,” katanya.
Pasangan mempelai itu memilih majlis pernikahan yang lebih privasi bersama keluarga dan teman rapat. — Facebook
Tambah Dini, mereka memilih mengadakan resepsi dalam majlis tertutup kerana mahukan momen itu menjadi lebih privasi dengan disaksikan bersama keluarga dan teman rapat.
“Kami memang merancang perkahwinan yang bersifat peribadi dan privasi, lebih bermakna untuk keluarga.
“Perkahwinan adalah sekali seumur hidup dan kami mahu jadikan majlis ini sesuatu yang indah sebagai memori kami berdua,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram