[VIDEO] 'Tak sampai hati lihat Faeez', kakak sayu lihat adik baru kahwin 5 bulan terpaksa ditidurkan


  • Massa
  • Jumaat, 26 Mei 2023

Tangkap layar kemalangan yang melibatkan melibatkan Faeez ketika menunggang ke tempat kerja pada Khamis.

"ADIK saya seorang yang ceria dan disayangi ramai," demikian luah Nur Liyana, kakak kepada seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi yang cedera parah selepas terlibat dalam satu kemalangan di sebuah jalan raya berdekatan Greenhill, Shah Alam, Selangor pada Khamis.

Pada waktu kejadian, mangsa, Faeez Hasni, 26, dalam perjalanan pergi ke tempat kerja kira-kira pukul 8 pagi Khamis.

Bercerita lanjut, Nur Liyana memberitahu, dia sekeluarga langsung tidak menyangka adiknya yang baru mendirikan rumah tangga kira-kira lima bulan lepas, terlibat dalam kemalangan tragik itu.

"Faeez adalah seorang yang sangat cermat dan sentiasa 'alert' (waspada) dengan keadaan sekeliling.

"Kami langsung tak sangka dia akan terlibat dalam kemalangan dan pada pagi itu dia pun pergi kerja macam biasa sahaja," katanya kepada Majoriti.

ac4d8af7-94f4-4b33-addb-c539de916ed7

Faeez Hasni (berdiri dua dari kiri) terpaksa ditidurkan kerana mengalami kecederaan parah.

Berhubung status terkini mangsa, Nur Liyana berkata, adiknya masih lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Shah Alam, Selangor.

"Adik masih lagi kritikal, pagi tadi (Jumaat) pakar buat pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) buat kali yang kedua untuk memastikan keadaannya.

"Adik cedera parah dan mengalami pendarahan di kepala dan paru-paru.

"Selain itu, ada bahagian lain badannya juga patah seperti di rusuk, tangan kanan dan tengkuknya juga cedera.

"Sekarang adik terpaksa ditidurkan dan doktor akan pantau kesihatan dia dari semasa ke semasa," ujarnya dengan nada yang sayu.

BACA LAGI : [VIDEO] 'Kami perlukan doa semua', rider kritikal akibat terpelanting, puncanya rempuh kereta tiba-tiba tukar laluan di Shah Alam

Bercerita lanjut, Nur Liyana berkata, orang pertama yang mengetahui kemalangan tersebut adalah isteri Faeez sendiri.

"Orang awam yang hubungi isteri Faeez menggunakan telefon pintarnya sendiri dan dia terus maklumkan perkara tersebut kepada kami.

"Adik terus ke sana dan mendapati Faeez sendiri terbaring di jalan raya dalam keadaan yang teruk," katanya.

Jelasnya lagi, pihaknya sudahpun membuat laporan kepada pihak polis dan berjumpa sendiri dengan pemandu tersebut.

"Laporan sudah dibuat dan kami juga ada berjumpa dengan pemandu tersebut. Saya tak nak komen berkenaan hal ini, biarlah polis yang uruskan.

"Pemandu itu pun trauma. Bagi dia masa dan tiada siapa pun ingin perkara ini terjadi," katanya.

Nurliyana turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menghulurkan bantuan kepada adiknya pada waktu kejadian.

"Saya minta sesiapa yang mengenali Faeez untuk mendoakan dia cepat sembuh. Saya tak sampai hati melihat dia dalam keadaan itu.

"Faeez disayangi ramai. sejak dia kemalangan semalam (Khamis), kami tidak putus-putus menerima panggilan orang yang bertanyakan keadaan dia.

"Daripada pihak majikan, sehinggalah ustaz. Ramai yang hubungi kami untuk menanyakan keadaannya," katanya.

Terdahulu, Majoriti melaporkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi didakwa cedera parah selepas terlibat dalam satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pada Khamis.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram