Tak pernah jemu, lagu raya malar segar imbau nostalgia Aidilfitri


  • Hiburan
  • Ahad, 23 Apr 2023

Biarpun sudah berusia lebih puluhan tahun, lagu raya berstatus malar segar tetap menjadi karya yang diminati sehingga ke hari ini.

SAMBUTAN hari raya Aidilfitri tidak akan meriah tanpa untaian lagu yang menghiburkan dan mengingatkan ingatan kepada insan tersayang di kampung halaman.

Suasana hari raya sambil menikmati hidangan seperti lemang, ketupat dan rendang dengan iringan muzik, menambahkan lagi keasyikan meraikan Lebaran.

Biarpun masa silih berganti, namun keseronokkan mendengar lagu raya malar segar lebih memberikan semangat dan menyemarakan rasa cinta untuk segera pulang ke kampung halaman.

Justeru, berikut antara lagu raya yang sering menjadi pilihan pendengar saban tahun bagi dan tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

Dendang Perantau

maxresdefault (1)

Lagu Dendang Perantau yang diciptakan sepenuhnya oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sekitar tahun 1960-an tetap masih kegilaan sehingga ke hari ini.

Lagu tersebut dinyanyikan sendiri oleh beliau. Meskipun sudah lebih sedekat, namun pendengar tidak mengira usia tetap menjadikan lagu tersebut sebagai pilihan pada setiap kali tibanya Syawal.

Selamat Hari Raya

majoriti2023 (17)

Lagu Selamat Hari Raya nyanyian Allahyarham Datuk Ahmad Jais dipercayai hanya mengambil masa sekitar 10 minit untuk dihasilkan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Allahyarham Datuk Jamil Sulong.

Tujuan asal lagu ini dihasilkan adalah untuk dijadikan sebagai simbolik kepada perjuangan pekerja-pekerja filem yang mogok pada Hari Raya Aidilfitri sekitar 1957.

Pada Mac dan April 1957, pekerja-pekerja studio filem MFP (Malay Film Productions) milik Shaw Brothers melakukan mogok untuk menuntut bayaran gaji.

Mogok tersebut berlanjutan hingga 1 Mei yang mana seluruh umat Islam di tanah air ketika itu meraikan Aidilfitiri.

Selamat Hari Raya

majoriti2023 (3)

Lagu ciptaan Kassim Masdor dan Tan Sri Jins Shamsuddin lewat 1960-an ini sering disalah erti oleh pendengar. Rata-rata mereka menyangka penyanyi asal lagu ini ialah Allahyarham Puan Sri Saloma.

Bagaimanapun, penyanyi lagu ini ialah Allahyarham Fazidah Joned atau nama asalnya Fadila Mohd Jonid.

Fazidah merupakan penyanyi popular sekitar era 1960-an setanding dengan nama-nama besar ketika itu antaranya Allahyarham Tan Sri SM Salim, Allahyarham Kamariah Noor, Allahyarham Puan Sri Saloma dan Allahyarham Datin Paduka Julie Sudiro.

Selain lagu Fazidah Joned dan Ahmad Jais, dua lagi lagu raya yang turut menggunakan judul sama Selamat Hari Raya, namun lagu berbeza iaitu Allahyarham Puan Sri Saloma dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini.

Cahaya Aidilfitri

ezgif-1-c79bc75f4a

Dinyanyikan oleh kumpulan Black Dog Bone, lagu Cahaya Aidilfitri merupakan karya ciptaan komposer hebat, S.Atan pada 1976.

Untuk rekod, S.Atan sudah menghasilkan lebih 50 buah lagu raya yang bersifat malar segar antaranya Dari Jauh Ku Pohon Maaf oleh Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Balik Kampung (Sudirman), Menjelang Hari Raya (Datuk DJ Dave), Indahnya Beraya Di Desa (Azlina Aziz) dan Hari Mulia (Datuk Sheila Majid).

Lagu Cahaya Aidilfitiri dihasilkan bagi memberikan kelainan berbanding lagu raya lain. Memiliki elemen sedih dan keinsafan terhadap golongan yang kurang berkemampuan.

Balik Kampung

majoriti2023 (15)

Lagu Balik Kampung yang dinyanyikan oleh Allahyaram Datuk Sudirman Arshad ini sebenarnya bukanlah tersenarai sebagai lagu raya.

Bahkan, tiada satu perkataan raya dinyatakan dalam lagu yang turut dihasilkan oleh Sudirman bersama S.Atan.

Lagu yang dihasilkan sekitar tahun 1980-an itu sebenarnya memiliki mesej tentang keterujaan untuk pulang ke kampung halaman setelah lama merantau.

Satu Hari Di Hari Raya

maxresdefault (2)

Lagu Satu Hari Di Hari Raya nyanyian Datuk M.Nasir turut menjadi antara kegemaran pendengar sejak lagu itu pertama kali didengarkan empat dekad lalu.

Meskipun sudah berusia, namun lagu tersebut tetap menjadi kegemaran dan siulan anak muda zaman sekarang.

Awalnya lagu tersebut dirakam dalam bentuk dua versi iaitu intro menggunakan gitar. Kemudian lagu tersebut diubah dan dirakam semula.

Perubahan daripada gitar ke bunyi tiupan seruling oleh Mohar membuatkan lagu terbabit menjadi satu karya luar biasa dan tetap segar sehingga ke hari ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram