SIAR: Dari dulu lagi, anak seni sorok nama sebenar demi glamor


  • Hiburan
  • Isnin, 21 Nov 2022

P. Ramlee tidak menggunakan nama sebenarnya dalam dunia seni.

RAMAI selebriti sebenarnya yang menggunakan nama pentas sebagai pengenalan diri.

Sejak dahulu lagi, memang ada selebriti yang sengaja tidak menggunakan nama penuh mereka sebagai pengenalan dalam dunia seni.

Antaranya ialah Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee atau nama sebenarnya, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh.

Begitu juga dengan Biduanita Negara yang juga isteri kepada P. Ramlee iaitu Saloma yang mana nama sebenarnya ialah Salmah Ismail.

Bukan sahaja lebih komersial, ada juga pelakon yang sengaja mengubah nama mereka sebagai cara publisiti.

Berikut Majoriti senaraikan beberapa pelakon yang kita kenali bukan menerusi nama sebenar mereka.

A R Badul

Pelakon, pelawak, penulis skrip dan pengarah, A R Badul sebenarnya bukanlah nama sebenar untuk insan seni ini.

Sebaliknya, nama pelakon yang berusia 73 tahun ini ialah Armaya Arman Ramlie.

Nama A R Badul juga pernah digunakan sebagai judul beberapa buah filem iaitu Panglima Badul, Si Badol, Tuan Badul dan Guru Badul.

Os

Os atau nama sebenarnya, Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid merupakan seorang pelawak yang cukup terkenal dalam negara.

Memulakan kerjayanya sebagai pelakon pada 1986, nama Mr Os membawa tuah buatnya apabila dijadikan judul filem.

Menjadi pelakon utama dalam filem Mr Os, dia kemudian terus dikenali dengan nama tersebut sehinggalah ke akhir hayatnya.

Nasha Aziz

Pelakon dan model, Nasha Aziz bukan sahaja dikagumi kerana bakatnya, tetapi juga kerana kejelitaan yang dimiliki.

Pemilik nama sebenar Noraishah Abdul Aziz ini memulakan kerjaya seninya pada tahun 1994.

Walaupun sudah berusia 51 tahun, Nasha masih lagi bergiat aktif dalam dunia seni sehingga kini.

Jins Shamsuddin

Merupakan anak guru kepada P.Ramlee, Tan Sri Jins Shamsuddin memilih nama yang cukup unik sebagai pengenalan dirinya.

Nama sebenar Jins ialah Mohamed Zain Samsudin dan dia memulakan kerjayanya sebagai seorang pelakon sejak 1956.

Meninggal dunia pada 2017 ketika berusia 81 tahun, individu ini tetap dikenali sebagai Jins sehingga kini.

A Galak

Nama sebenar A Galak ialah Zakaria Ahmad. Ya, tiada perkataan Galak pun dalam nama sebenarnya.

Berusia 80 tahun, A Galak masih kekal aktif berlakon dan sudah membawakan pelbagai watak baik kaya, miskin, jahat atau menjadi pihak berkuasa.

Dikenali juga kerana misainya yang lentik, A Galak sebenarnya pernah bekerja di Studio Jalan Ampas dengan menjadi jurusolek.

Ella

Ratu rock negara, Ella ini juga mempunyai nama sebenar yang berlainan dengan nama pentasnya.

Berbanding nama sebenar, Nor Zila Aminuddin, ramai yang lebih mengenali nama Ella.

Ella, 56, juga cukup dikenali dengan perwatakannya yang manja walaupun merupakan seorang rockers. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram