MEMETIK baik lirik gubahan pengarah tersohor Allahyarham Tan Sri P.Ramlee; “Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.”
Begitulah nasihat ringkas yang dipetik daripada lagu Sedangkan Lidah Lagi Tergigit nyanyian beliau bersama isteri tercinta, Allahyarham Biduanita Negara Puan Sri Saloma daripada filem 3 Abdul pada 1964.
Secara ringkas perbalahan antara hubungan suami isteri itu lumrah rumah tangga dan sudah menjadi asam garam kehidupan. Namun, sekiranya perkara tersebut berpunca daripada kecurangan, tentu sahaja memberi kesan mendalam kepada mangsa.
Masakan tidak, kepercayaan yang diberikan musnah begitu sahaja dan itu akan memberikan kesan mendalam dan kesukaran untuk meneruskan hubungan pada masa akan datang.
Situasi tersebut membuatkan seseorang berasa keliru, kurang menaruh kepercayaan dan sukar untuk menerima kehadiran orang baharu dalam kehidupan.
Namun, terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan boleh membantu untuk membentuk psikologi dan daya pemikiran baharu daripada Cathage Buckley, seorang jurulatih tekanan dan prestasi.
‘Enjoy the process’
Membina kepercayaan adalah komitmen harian. Jangan terlalu mengharapkan perkara boleh berlaku dengan cepat. Untuk membina kepercayaan, mula-mula ambil langkah kecil dan kemudian kepercayaan akan berkembang.
Komunikasi terbuka
Dapatkan kepercayaan pasangan dengan memberitahu atau meluahkan perasaan dan berkongsi kisah dahulu yang memberi kesan mendalam.
Begitu juga dengan usaha untuk membina hubungan yang sihat. Oleh kerana tidak mempunyai kuasa telepati untuk membaca fikiran, disebabkan itu pentingnya komunikasi secara terbuka bagi mengelakkan salah faham.
Pandangan pakar
Terapi pasangan boleh memberikan perspektif ketiga mengenai objektif hubungan. Selain dapat memberi perspektif berbeza, aktiviti ini juga dapat merawat luka dan memperbaiki emosi serta trauma kedukaan dahulu.
Zon selesa
Untuk mewujudkan semula kepercayaan dalam diri, cuba lakukan aktiviti kegemaran dengan pasangan baharu. Tidak mengira sama ada berbasikal, memasak, bersukan atau bercuti bersama.
Berkongsi kisah pengalaman hidup juga merupakan salah satu cara untuk membina keintiman pengalaman, hubungan dan kepercayaaan.
Perasaan sangsi
Perasaan ragu-ragu itu penting bagi membantu kita agar tidak berasa kecewa sekiranya kepercayaan yang diberikan musnah.
Namun, jangan terlalu berfikiran negatif sehingga menyebabkan diri berasa tertekan.
Dapatkan maklumat sahih bagi mengelakkan salah faham dan berusaha untuk menjalani kehidupan yang lebih baik. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram