KATA orang hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baik di negara sendiri.
Namun, tidak salah jika ingin menuntut ilmu sejauh ke negara China. Ada pula yang mengatakan jauh perjalanan, luas pemandangan.
Pelbagai istilah digunakan untuk menceritakan tentang anak rantau yang memilih untuk berkelana ke luar negara.
Meskipun tiada sanak saudara, perkara itu bukan penghalang buat Zul Hilmi Karim, 30an, menetap di Islamabad, Pakistan.
Lebih lima tahun ibu negara itu, dia yang mesra disapa Hilmi semakin selesa menjalankan perkhidmatan pelancongan menerusi agensi dikenali sebagai Wanderlust Pakistan di negara berkenaan.
Hilmi (kanan) bersama rombongan rakyat Malaysia yang berkunjung ke Pakistan.
Awalnya bukan mudah untuk dia menyesuaikan diri, namun Hilmi percaya dengan kata hati dan akhirnya ‘jatuh cinta’ dengan Pakistan.
“Sejak umur 16 tahun saya sudah dihantar keluarga untuk mengikuti pembelajaran agama di sebuah madrasah yang terletak di Yaman.
“Beberapa tahun di sana saya kemudian berhijrah ke Korea Selatan. Disebabkan mengikut sepupu yang sangat meminati muzik K-pop.
“Disebabkan dia, saya ikutkan saja dan pergi ke sana beberapa minggu, kemudian berubah menjadi bulan dan akhirnya bertahun,” katanya kepada Majoriti.
Berkongsi cerita mencari sesuap nasi di negara orang, Hilmi mengakui perkara itu bukan mudah. Pelbagai cabaran perlu diharungi, namun nasihatnya, langkah pertama yang perlu dilakukan oleh sesiapa saja yang mahu memulakan hidup di negara asing adalah berkunjung ke masjid.
“Insya-ALLAH kita sesama Islam, mereka akan cuba membantu sebaik mungkin sekiranya berdepan dengan masalah. Maklum kita di tempat orang, bukan banyak benda yang kita tahu.
“Jadi lebih baik berkawan dengan orang masjid. Mereka tentu sudah lama berada di situ dan tahu tentang selok-belok penduduk setempat,” jelasnya.
Perkara itu juga membuka matanya untuk saling membantu antara satu sama lain terutama dalam kalangan rakyat senegara yang berhadapan dengan masalah visa atau pekerjaan di luar negara.
Keadaan persekitaran Islamabad yang menjadi ibu negeri Pakistan.
“Saya ini tidak pandai mana, tetapi dengan membaca dan banyak bertanya saya memahami. Apa yang boleh saya kongsikan ialah ada rakyat Malaysia yang ditindas di luar negara akibat bekerja menggunakan pas pelancong.
“Korea Selatan sangat menitikberatkan soal hak manusia tidak kira apa jenis passport yang dipegang. Penindasan tetap dianggap salah dan perkara itu tidak boleh dibiarkan.
“Majikan perlu bertanggungjawab ke atas pekerja dan tidak membiarkan mereka tanpa mendapatkan gaji, perlindungan serta rawatan sewajarnya,” jelas anak ketiga dari enam adik beradik mengenai pengalamannya ketika menetap di Korea Selatan.
Bermula daripada membantu kenalan terdekat, Hilmi kemudian berjaya mengembalikan hak kepada ribuan anak Malaysia di negara tersebut sekitar empat tahun di sana.
Hilmi yang juga presiden badan bukan kerajaan (NGO) Give Of Living, memberitahu kini dia optimis terhadap usaha membantu golongan kurang bernasib baik di Pakistan ia telah dilaksanakan ketika penduduk negara itu berdepan fenomena alam baru-baru ini.
Keindahan pemandangan di Pakistan memukau mata memandang apatah lagi negara itu memiliki empat musim.
Kenangan silam
Berkongsi cerita tentang perjalanan awalnya di Pakistan, kata Hilmi, dia pernah meringkuk dalam penjara di Pakistan akibat ditipu pihak tidak bertanggungjawab.
Insiden itu bermula apabila dia cuba untuk memperbaharui visa tetapi malangnya perkara sebaliknya pula berlaku.
“Selepas menunggu beberapa hari, telefon bimbit pula hilang dan ia betul-betul membuatkan saya rasa tertekan.
“Saya cuba untuk dapatkan kepastian tentang visa berkenaan, tetapi lain pula yang jadi apabila saya ditahan dan dimasukkan ke penjara.
“Tanpa sebab atau alasan yang sah, saya dihukum penjara selama dua bulan atas kesalahan visa tamat tempoh. Ketika itu perasaan marah memang membuak-buak terhadap orang Pakistan, tetapi mujur saya berpegang kepada nasihat ustaz yang saya kenali.
"Katanya, sikap dan tingkah-laku seseorang bukan cerminan agama yang mereka anuti. Islam itu agama suci dan mendidik umatnya untuk saling melindungi antara satu sama lain dan bukan mengkhianati,” cerita Hilmi yang berasal dari Sentul di ibu negara dan mahir dalam bidang hiasan dalaman.
Biarpun pernah memiliki kenangan pahit dengan penduduk Pakistan akibat ditipu, namun Hilmi yakin negara tersebut menyimpan 1001 keindahan yang belum diketahui umum.
Selain itu, ustaz berkenaan turut menasihatkan agar memaafkan individu yang berbuat jahat dan jangan sesekali menyimpan dendam di dalam hati.
“Apabila marah, kita berdendam, apabila berdendam, kita menjadi benci, apabila benci, mulalah timbul fikiran untuk menyakiti.
“Berdoa kepada ALLAH semoga mereka menerima balasannya kelak. Tiada guna kita berdendam dengan mereka yang tidak pernah melihat kesilapan diri sendiri dengan menyakiti orang lain.
“Sabar dan terus bersabar. Insya-ALLAH dalam sabar itu ALLAH memberikan yang terbaik buat kita atau lebih baik daripada sebelum ini. Anggap ini satu pengalaman yang membuatkan kita matang dan bersedia mengharungi ujian akan datang,” terangnya.
Sebelum menutup bicara Hilmi memberitahu dia sudah mengembara ke puluhan negara dan dengan bersyukur pandangan positif yang diterapkan dalam menjalani kehidupan kini banyak membantunya untuk teruskan operasi khidmat pelancongan Pakistan, sekali gua memilih negara itu sebagai destinasi untuk mencari sumber rezeki.
Setelah lebih lima tahun menetap di Pakistan, Hilmi boleh dikatakan sudah arif dengan selok-belok negara tersebut.
Boleh dikatakan, hampir 70 peratus negara terbabit masih belum diterokai, namum pemuda yang aktif di Tiktok dengan nama iamzhilmikarim semakin mahir membawa pelancong ke beberapa lokasi menarik seperti Tasik Hanna, Lembah Bolan, Bukit Chiltan dan Taman Negara Chiltan.
Malahan, pertemuan dengan pelbagai pihak sama ada warga tempatan mahupun rakyat Malaysia yang bermurah hati telah banyak membantunya meneruskan kehidupan di Pakistan sehingga kini memiliki pejabat, pengangkutan dan kediaman untuk pelancong yang berkunjung ke sana.
Sekiranya ragu-ragu soal keselamatan, Hilmi yang boleh dihubungi menerusi laman Facebook, Z Hilmi Karim menasihatkan agar jangan terlalu mudah percaya dengan penduduk setempat dan sebaiknya berhati-hati dengan barangan yang dibawa.
Bagi berkongsi pengalamannya di bumi Pakistan, Hilmi sedia menerima kehadiran rakyat Malaysia yang ingin menikmati pemandangan memukau di negara itu tidak kira apa jua musim kerana pakej yang ditawarkan sememangnya berbaloi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,