KEADAAN kesihatan dan kekuatan imunisasi seseorang mempengaruhi tindak balas terhadap pengambilan herba seperti kacip fatimah, tongkat ali, daun bidara, daun mambu, ginsing.
Tidak dinafikan ada juga tubuh yang memberikan reaksi negatif seperti alahan, muntah-muntah atau pening.
Kaedah rawatan herba merupakan langkah alternatif bagi membantu masalah kesihatan tertentu tidak kira sama ada cara pengambilannya secara makan atau minum.
Bagaimanapun pengambilan tumbuhan semula jadi itu perlu mendapatkan nasihat doktor atau ahli kesihatan untuk mengetahui tahap kesesuaian pengambilan.
Pegawai Sains Pemakanan di Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Mohammad Asyraf Ismail, berkata, individu yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis atau darah tinggi perlu mendapatkan rundingan pakar terlebih dahulu.
Pastikan produk yang berasaskan herba berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) — Bernama
“Kesesuaian adalah subjektif dan bergantung kepada penerimaan tubuh. Sebelum menggunakan mana-mana produk herba tradisional, mereka perlu berbincang dengan doktor terlebih dahulu.
“Bergantung kepada keadaan pesakit, setiap orang mempunyai penerimaan yang berbeza sama ada pengambilan produk tradisional sesuai atau tidak.
“Ini kerana buah pinggang dan hati perlu bekerja lebih keras untuk memproses komponen aktif yang terdapat dalam produk herba tradisional,” jelasnya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, produk herba tradisional berkemungkinan boleh mengakibatkan interaksi atau kesan buruk terhadap ubat-ubatan yang diambil oleh pesakit.
“Berdasarkan penyelidikan seperti disiarkan menerusi Jurnal Hepatology melaporkan, produk berasaskan herba menyumbang kepada 20 peratus kes kerosakan hati dan buah pinggang.
“Produk herba diklasifikasikan dalam kategori produk tradisional dan perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dijual dalam pasaran.
“Produk tradisional tidak boleh dicampurkan dengan sebarang ubat terkawal,” ujarnya.
Jurnal Hepatology melaporkan produk berasaskan herba menyumbang kepada 20 peratus kes kerosakan hati dan buah pinggang.
Mengulas lanjut, pengambilan herba untuk satu jangka masa panjang juga berkemungkinan boleh memberikan kesan kepada tubuh badan.
Oleh itu, perlu berhati-hati dan banyakkan pembacaan serta dapatkan nasihat pakar sebelum membuat keputusan untuk mengambil herba.
“Tiada kajian klinikal dan terperinci mengenai pengambilan herba secara jangka masa panjang. Perlu berhati-hati dan tidak bergantung kepada pengambilan herba semata-mata,” katanya.
Secara kesimpulan, pengambilan tumbuhan herba dalam diet harian perlu mendapatkan nasihat pakar perubatan bagi mengelak perkara buruk berlaku.
Dalam pada itu, amalkan pemakanan sihat melalui saranan Piramid Makanan, mengikut konsep suku-suku separuh.
Bersenam dan aktif secara fizikal, serta pastikan berat badan adalah ideal sudah cukup untuk kelestarian kesihatan dan kehidupan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram