PRESTASI kurang konsisten yang dipamerkan oleh pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC antara 'penyumbang' terbesar pasukan terbabit gagal mempertahankan kedudukan di tangga teratas dalam saingan Liga Super musim ini.
Ditambah dengan kekalahan dalam aksi persahabatan menentang Penang FC pada Ahad, nasib pasukan Hijau Kuning untuk mengharungi baki liga menjadi persoalan dalam kalangan penyokong.
Sekitar April, pengendali pasukan, Nafuzi Zain pernah mengatakan pemainnya kurang mempamerkan kesungguhan terutama di bahagian benteng pertahanan.
Biarpun ada mencatat beberapa kemenangan, namun Sang Kenari tetap dilihat tidak mampu untuk memberi saingan kepada pasukan lebih kuat seperti Johor Daruk Takzim (JDT), Sri Pahang FC, Sabah FC dan Selangor FC.
Melihat kepada itu, penyokong meletakkan harapan agar gandingan Amirbek Juraboev, Lee Tuck dan Manuel Ott dirombak.
Antara yang menjadi sasaran ialah Amirbek yang dilihat langsung tiada sumbangan kepada pasukan meskipun tampil dalam 10 perlawanan di Liga Super.
Tiga nama pemain yang disebut sebagai kelemahan KDA.
"Main banyak-banyak kali tapi tiada sumbangan, kecewa betul," kata Robi Amri.
"Sampai masa untuk ada rombakan atau latihan khusus untuk Amirbek," kata Lola Doli.
Selain itu, Lee Tuck yang menjadi harapan Nafuzi di KDA FC juga hambar kerana sering dikatakan 'hilang' atas padang.
"Mungkin sudah boleh dibincangkan untuk adakan pertukaran susun semula strategi," kata Mohd Amin.
Tidak kurang Amirbek dan Lee Tuck, Manuel Ott yang bertindak sebagai kapten pasukan di bawah kendalian Nafuzi juga dilihat kurang menyerlah.
Tampil dalam sembilan perlawanan, Manuel Ott bagaimanapun sedikit baik berbanding Amirbek memandangkan dia berjaya memberikan tiga bantuan jaringan.
KDA FC yang kini berada pada kedudukan kelima dengan kutipan 19 mata dijadualkan bertemu dengan Kelantan FC di Stadium Darul Aman, Kedah pada 19 Mei.
Perbezaan posisi Kelantan di tangga ke-13 itu diharapkan memberi kelebihan buat KDA untuk mengutip tiga mata penuh apatah lagi bermain di tempat sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram