KANAK-KANAK merupakan generasi pelapis yang juga boleh dianggap sebagai aset negara. Oleh itu, pembentukan sikap dan sahsiah diri penting, bagai kata pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
Disebabkan itu, perkembangan emosi dan psikologi penting buat mereka agar dapat membentukkan keperibadian yang baik kepada masyarakat.
Psikologi kanak-kanak dipengaruhi dengan perkembangan fizikal, emosi dan sosial.
Malah, tokoh psikologi kanak-kanak, Jean Piaget berpendapat golongan ini memiliki pola pemikiran berbeza daripada orang dewasa.
Disebabkan itu, persekitaran sosial dan reaksi emosi dapat membantu kanak-kanak untuk membuat keputusan dan meluahkan perasaan mereka.
Kanak-kanak yang berdepan dengan masalah emosi, tertekan sama ada dibuli atau didera akan mempamerkan perubahan sikap seperti kurang bergaul dan bercakap dengan orang lain.
Ibu bapa, penjaga, ahli keluarga dan masyarakat memainkan peranan bagi membantu mereka untuk memahami tahap emosi kanak-kanak.
Mantan Presiden, Persatuan Psikologi Malaysia, Profesor Datin Dr Noran Fauziah Yaakub, berkata, pemerhatian terhadap tingkah laku dan perubahan sikap antara 'kunci' utama memahami tahap emosi mereka.
"Kita perlu melihat perubahan tingkah laku seperti kebiasaannya gembira, tiba-tiba berubah menjadi pendiam, enggan bercerita dengan keluarga dan sukar untuk senyum.
"Lebih senang untuk bersendirian di dalam bilik sehinggakan makan pun tidak berselera. Sebilangan juga enggan pergi ke sekolah," katanya kepada Majoriti.
Melakukan aktiviti melukis merupakan salah satu cara untuk membantu kanak-kanak ekspresi perasaan dan emosi mereka.
Noran Fauziah turut mencadangkan salah satu usaha yang boleh dilakukan bagi memahami tahap emosi kanak-kanak ialah dengan melukis.
"Saya dapati pendekatan terapi seni amat membantu anak yang sedang bermasalah. Secara lazimnya, mereka ini enggan bercerita dengan ibu bapa.
"Kita boleh cungkil rahsia mereka dengan melakukan aktiviti melukis mengikut standard (pendidikan kanak-kanak) yang betul," katanya.
Mengulas lanjut, perubahan sikap terbahagi kepada dua perspektif iaitu tingkah laku sama ada menyendiri (pasif) atau agresif.
"Mereka ini akan mempamerkan sama ada sikap pasif atau ageresif. Jika melibatkan kes buli, sikap itu merupakan cerminan sama ada dia terlibat sebagai membuli atau dibuli," terangnya.
Masyarakat juga perlu peka terhadap perubahan sikap kanak-kanak bagi mengenal pasti sama ada mereka terlibat sebagai mangsa buli atau penderaan.
Perubahan sikap merupakan salah satu tindak balas utama dan ketara bagi mereka mempamerkan emosi dan respons terhadap sesuatu perkara.
Tumbesaran psikologi kanak-kanak penting untuk membentuk personaliti dan pemikiran mereka.
Pentingnya faham corak pemikiran kanak-kanak
Ibu bapa juga perlu memahami kehendak dan kemahuan yang dikehendaki oleh anak-anak.
Membantu dalam perkembangan psikologi dan emosi daripada segi meningkatkan keyakinan diri, kemampuan bersosial dan kerjaya.
Pada masa sama, ibu bapa dapat membantu anak-anak untuk mengekspresikan perasaan, menguruskan emosi dan dapat menyelesaikan masalah.
Mengurangkan tekanan kanak-kanak dengan kehidupan kekeluargaan ibu bapa dengan kanak-kanak selain menjalin hubungan lebih harmoni dan bebas tekanan emosi serta mental. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram