Minat memasak sejak kecil buka peluang cipta jenama sendiri


  • Hobi
  • Sabtu, 13 Mei 2023

Minat membuat kek yang duhulunya sekadar hobi kini menjadi salah satu aktiviti kegemarannya.

BERAWAL dengan cuba-cuba, Khairina atau nama lengkapnya Nur Khairina Zulfikri, 24, tidak menyangka minat yang bercambah sejak kecil itu mendorong dirinya ke gerbang kemahiran baharu.

Secara peribadi, tuan punya badan sendiri tidak menyangka aktiviti membuat manisan pada waktu lapang membuka peluang untuknya memiliki jenama produk makanan sendiri.

“Waktu kecil dulu selalu duduk dengan nenek, dia suka belajar memasak. Kemudian setiap resipi yang sudah belajar saya akan cuba.

“Bermula daripada itu minat untuk belajar memasak bercambah dan saya akan cuba untuk melakukannya dan dihidangkan kepada keluarga serta rakan-rakan,” katanya kepada Majoriti.

majoriti2023 (3)

Kek cawan dan pavlova antara manisan yang dihasilkan Khairina.

Tambahnya, melihat riak wajah mereka yang gembira dan berpuas hati dengan masakan disediakan sudah cukup membuatkan dia yakin bahawa hobinya itu bukan lagi biasa-biasa.

Khairina kemudian melangkah setapak ke hadapan dan mencabar diri untuk menjalankan perniagaan kek.

Biarpun berdepan dengan kekangan masa, namun itu bukan halangan buat dia meneruskan minat tersebut. Dilakukan pada setiap hujung minggu, aktiviti tersebut secara tidak langsung membantu dia mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah dan menjana lebih pendapatan.

“Bekerja sebagai juruaudit membuatkan masa saya agak terhad. Jadi saya cuba sedaya upaya untuk membahagikan masa dengan sebaik mungkin.

“Selalunya itu yang saya akan buat pada waktu hujung minggu. Mula-mula tempahan dalam kalangan kawan-kawan terdekat.

“Setelah mencuba melakukan perniagaan dalam talian, syukur saya semakin dapat banyak tempahan,” terangnya.

majoriti2023 (6)

Khairina sentiasa cuba untuk mempelajari menu baharu bagi menambahkan pengetahuan.

Antara juadah yang dihasilkan Khairina seperti pavlova, brownies, biskut dan kek. Sejak dua tahun aktif dengan perniagaan bakedb.yk, Khairina kerap menerima tempahan daripada pelanggan tetap.

Cuma, Khairina turut mengakui stres dengan kesibukan lalu-lintas lebih-lebih lagi dia yang menetap di kawasan Lembah Klang.

Cara untuk menyelesaikan masalah itu ialah dengan pulang ke rumah lebih awal bagi menyiapkan tempahan pelanggan.

“Tetapkan masa untuk membuat kek apabila ada tempahan hujung minggu. Waktu bekerja fokus kerja tetapi jika dapat balik awal, itupun kalau tidak berapa sibuk.

“Lepas balik kerja, saya akan cuba memasak dan mempelajari menu baharu untuk tambah pengalaman,” ujarnya.

Mengulas lanjut tentang minatnya itu, Khairina menasihatkan agar individu yang mempunyai masa lapang boleh mencuba hobi memasak atau membuat kek.

majoriti2023 (5)

Khairina menerima pelbagai jenis tempahan manisan termasuk biskut.

Katanya, selain dapat menggembirakan orang lain, memasak juga membantu untuk mengurangkan tekanan dan berjaya memperoleh pendapatan tambahan.

“Teruskan memasak dan membuat kek untuk insan yang tersayang kerana makanan ini boleh membuatkan kita berasa gembira.

“Jika gagal itu tidak mengapa, tidak menjadi masalah kerana boleh cuba lagi. Perlahan-lahan, belajar satu persatu sehingga berjaya,” terangnya.

Tidak ketinggalan, Khairina bersyukur apabila minatnya terhadap aktiviti memasak mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan. Sehingga ke hari ini, Khairina masih mendapat tempahan daripada individu terdekat untuk menghasilkan manisan tidak mengira sama ada untuk majlis hari jadi, ulang tahun perkahwinan atau sebarang majlis rasmi seperti perkahwinan serta pertunangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram