Anak buka tudung, ramai mula 'throwback' watak berbeza Azmil Mustapha selain Ali Setan


  • Hiburan
  • Ahad, 07 Mei 2023

Bukan sahaja di Malaysia malah Azmil Mustapha turut membintangi beberapa buah naskhah terbitan negara Indonesia.

APABILA disebut sahaja nama Ali Setan, tentu minda peminat filem Melayu lebih tertumpu kepada watak figura popular era 1980-an, Azmil Mustapha.

Masakan tidak, karakter Ali dalam filem Ali Setan yang diterbitkan pada 1985 masih mendapat tempat di hati penonton sehingga ke hari ini.

Watak budak nakal itu bukan sahaja menjadi pencetus kepada kerjaya lakonan beliau, malah melayakkan dirinya untuk memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia 1985/1986.

Bagaimanapun baru-baru ini, nama beliau kembali diperkatakan berikutan kontroversi anaknya, Alya Iman yang kini dikhabarkan tidak lagi berhijab.

Pelakon berusia 22 tahun itu membuat kejutan apabila memuat naik gambar tanpa mengenakan hijab pada sambutan Hari Raya Aidilfitri, April lalu.

Disebabkan itu, nama Allahyarham Azmil Mustapha yang meninggal dunia pada Februari 2018 kembali disebut-sebut peminat.

Tindakan Alya Iman sekali gus membuat khalayak berasa hampa, namun tetap mengharapkan agar pelakon drama Bukan Kahwin Paksa itu kembali bertudung.

Berikut merupakan filem yang pernah dilakonkan oleh Azmil yang juga bapa kepada lima orang cahaya mata itu sepanjang lebih dua dekad dalam industri.

Mekanik, 1983

Filem ini menceritakan tentang seorang mekanik yang menjumpai wang hasil rompakan yang disorok oleh sekumpulan perompak yang diletakkan di dalam teksi.

Setelah menjumpai wang itu, mekanik bernama Shamyl iaitu lakonan Azmil Mustapha. Shamyl turut menjalin hubungan dengan seorang wanita yang bernama Nina.

Terdapat dialog dalam filem ini yang masih diingati sehingga sekarang iaitu; “Tidak kisahlah orang hitam, orang biru, orang coklat, kita orang Malaysia kan.”

Selain Azmil Mustapha, filem ini turut dibintangi oleh Susan Lankester, Datuk Yusof Haslam, Julie Faridah, M.Rajoli, Omar Abdullah dan Imuda.

Suara Kekasih, 1986

Selepas bergandingan dengan aktres Fauziah Ahmada Daud dalam filem Ali Setan pada 1985, kedua-duanya turut muncul sebagai pasangan kekasih dalam Suara Kekasih.

Menceritakan pasangan yang terpaksa berpisah kerana berbeza latar belakang kerjaya dan keluarga. Bahkan hubungan antara Taufiq dan Ayu turut tidak mendapatkan restu orang tua.

Secara ringkasnya filem ini ibarat menongkah arus kepada kebanyakan filem cinta yang selalunya berakhir dengan kegembiraan.

Namun, filem arahan Ida Farida ini turut dibintangi oleh Ebby Saiful, Lydiawati dan Datin Rosnani Jamil.

Dewi Cinta, 1986

Bukan sahaja karya tanah air, malah filem Indonesia ini turut memperlihaktan gandingan antara Azmil Mustapha dengan Fauziah Ahmad Daud.

Filem arahan Abdi Wiyono ni menceritakan tentang Dewi yang cuba untuk membunuh diri setelah mengetahui teman lelaki mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.

Arman kemudian hadir dalam hidup Dewi sekali gus membantu wanita malang itu untuk melupakan kekasihnya, Micky.

Bagaiamaanpun, Micky kembali memujuk Dewi dan mengharapkan agar dapat kembali menjalin hubungan dengan Dewi. Namun, Arman meminta Dewi untuk membuat keputusan sama ada memilih dirinya atau Micky.

Selain kedua-duanya, filem ini turut dibintangi oleh Richie Ricardo.

Driving School, 1990

Memegang peranan sebagai watak utama iaitu Helmi yang berkerja sebagai tenaga pengajar di sebuah sekolah memandu.

Helmi menjalin hubungan dengan kekasihnya bernama Faridah yang turut bekerja di tempat sama.

Oleh kerana rupanya yang tampan dan sikap mudah mesra, Helmi menjadi antara kegilaan pelajar di sekolah memandu itu.

Selain memiliki elemen romantik, filem ini turut diselitkan dengan babak aksi dan cemas.

Pelakon seperti Datuk Ziela Jalil, Jalil Hamid, Yusni Jaafar, Kartina Aziz, Edika Yusof dan Datuk Yusof Haslam membintangi filem arahan Othman Hafsham.

Puteri Gunung Ledang, 2004

Screenshot 2023-05-06 at 1.41.59 PM

Filem epik legenda ceritera cinta Laksamana Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang turut menyaksikan kemunculannya sebagai Pengeran Demak.

Biarpun hanya terlibat dalam beberapa babak, namun lakonan beliau memberi kesan kepada penonton.

Diceritakan Pengeran Demak yang bertemu dengan pemerintah kerajaan Majapahit dan agar berlindung di bawah kekuasaan mereka.

Namun perkara itu mendapat tentangan Gusti Adipati Handaya Ningrat. Kemudian kerajaan Demak melakukan serangan sehinggakan Gusti Adipati Handaya Ningrat terpaksa meminta bantuan kerajaan Melaka.

Awalnya Pengeran Demak dikhabarkan akan berkahwin dengan Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah iaitu adinda kepada Gusti Adipati Handaya Ningrat.

Bagaimanapun, Gusti Adipati Handaya Ningrat terlebih dahulu membuat keputusan untuk kahwinkan adiknya dengan sultan Melaka.

Filem ini dibintangi oleh Puan Sri Tiara Jacquelina, Datuk M.Nasir, Datuk Rahim Razali, Adlin Aman Ramlie, Sofea Jane dan Khir Rahman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram