PENYANYI terkenal, Wany Hasrita memastikan komunikasi dan saling tolak ansur dengan suami, Mohd Al-Adib Fahmi Harun sebagai kunci mengeratkan hubungan jarak jauh selepas berkahwin Julai 2022.
Wany atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 30, berkata, dia dan suami berusaha untuk meluangkan masa bersama dan saling bertanya khabar meskipun masing-masing terikat dengan jadual kerja yang padat.
“Kami berhubung tidak menentu. Maklum jadual masing-masing agak padat. Namun sekiranya ada masa terluang saya akan berusaha untuk menghabiskan masa bersama.
“Pada tidak terlalu bergantung kerana masing-masing boleh menguruskan dan buat beberapa hal sendiri,” katanya kepada Majoriti.
Wany dan suami, Mohd Al-Adib saling berjauhan selepas berkahwin pada Julai 2022 demi tuntutan kerja masing-masing.
Suaminya, Mohd Al-Adib difahamkan berkhidmat sebagai juruterbang dan kini menetap di Kuching, Sarawak sementara Wany di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Wany turut bersyukur suaminya memberi keizinan untuk meneruskan kerjaya dalam bidang seni sekali gus meneruskan perkahwinan jarak jauh itu.
“Syukur suami seorang yang sangat memahami. Dia membenarkan saya untuk teruskan kerjaya dahulu. Mengikut perancangan ke hadapan, saya berkemungkinan akan ke sana (Kuching).
“Tetapi, kita hanya mampu merancang. Kadangkala ada perancangan itu menjadi, dan ada pula tidak. Jadi buat masa sekarang kami baik-baik begini dan pilih untuk fokus kepada kerjaya masing-masing dahulu.
Rekaan baju kurung ready to wear oleh Santun iaitu jenama fesyen milik Wany dan Amira Othman.
“Saya melihat ini adalah fasa pengenalan dan baharu buat kami untuk saling mengenali dan belajar tentang antara satu sama lain.
“Kami akan bertolak ansur dan berbincang dengan baik sama ada saya akan pergi ke sana atau dia yang akan ke sini (Kuala Lumpur),” jelas Pemenang Anugerah Bintang Paling Popular 2018 itu.
Dalam perkembangan lain, Wany kini sibuk menguruskan perniagaan baju kurung siap (ready to wear) yang diusahakan bersama rakan selebriti, Amira Othman.
Busana di bawah jenama Santun yang baru dilancarkan Ramadan lalu memiliki variasi pilihan baju kurung yang menggunakan nama tajuk lagu kedua-dua mereka antaranya Menahan Rindu, Canggung, Hati-hati dan Jaga Jaga.
“Kami membuat perbincangan untuk bekerjasama sejak tahun lalu. Terus terang kami juga masih baru dan banyak perkara yang perlu dipelajari lagi untuk kemajuan akan datang.
“Koleksi ini tidak hanya dijual pada sambutan hari raya ini saja kerana sasaran kami untuk jangka masa panjang,” terangnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram