'Mama dah boleh bernafas sendiri, bercakap', Kilafairy mohon doakan Rohana Jalil


  • Hiburan
  • Khamis, 20 Apr 2023

Tiub pernafasan sudah dibuka dan Rohana kini dilaporkan sudah boleh cakap.

PENYANYI yang popular dengan lagu Rayuanku, Rohana Jalil kini berada dalam keadaan stabil selain mampu bernafas seperti biasa selepas tiub pernafasan dibuka pada Khamis.

Khabar baik itu dikongsikan oleh anaknya, Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan, 31, yang turut memberitahu ibunya kini sudah boleh bercakap dan diajak berbual.

“Alhamdulillah hari ini tiub pernafasan mama sudah dibuka, jadi mama boleh bernafas sendiri. Sudah boleh bercakap sedikit.

“Buat masa sekarang, doktor memberitahu prosedur memasukkan stent bagi menyekat kebocoran usus. Nampaknya macam berjaya, tetapi hanya untuk masa sekarang. Masih banyak lagi perkara yang perlu dipantau,” katanya kepada Majoriti.

Untuk info, stent merupakan alat berbentuk tabung khusus ke dalam tubuh untuk membuka saluran pencernaan yang menyempit atau tersumbat.

Dalam pada itu, Kilafairy turut memberitahu beberapa peringkat perawatan dan pemeriksaan lanjut mengenai tahap kesihatan ibunya perlu dilakukan selain masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi memantau tahap pernafasan dan kebocoran usus.

“Buat masa sekarang mama tidak dibenarkan menerima pelawat. Hanya ahli keluarga terdekat saja.

“Keadaan mama masih lemah dan mudah untuk terkena jangkitan kuman,” ujarnya.

Selain mengharapkan kesihatan ibunya yang berusia 68 tahun itu kembali pulih apatah lagi sudah menghampiri sambutan Hari Raya Aidilfitri, Kilafairy turut memohon agar semua pihak dapat mendoakan kesejateraan ibunya.

Sebelum ini, Rohana atau nama sebenarnya Dara Abdul Jalil, 68, dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Selasa akibat mengalami usus bocor disebabkan ulser perut dan gastrik.

Rohana juga dilaporkan selesai menjalani pembedahan untuk menutup lubang bocor di usus akibat gastrik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram