Baju raya terlalu banyak, artis pilih simpan atau jual? 


  • Hiburan
  • Sabtu, 22 Apr 2023

Barisan selebiriti mempunyai pilihan tersendiri tentang apa yang ingin dilakukan sekiranya wujud 'lambakan' baju raya.

MEMEGANG status sebagai selebriti tentu sahaja membuatkan mereka perlu menjaga penampilan terutama ketika muncul di depan khalayak.

Oleh itu, pilihan busana yang betul sudah menjadi satu kemestian. Disebabkan itu, golongan selebriti tidak memilih untuk memakai pakaian sama berulang kali ke acara berbeza.

Perkara itu lebih-lebih lagi ketika memenuhi undangan hadir menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri mahupun acara hiburan.

Situasi tersebut menyebabkan lambakan baju raya yang rata-rata hanya dipakai sekadar beberapa jam sebelum disimpan dan mustahil dipakai semula buat kali kedua.

Berikut ada penjelasan barisan selebriti popular kepada Majoriti tentang apa yang mereka lakukan terhadap baju raya. Sekiranya tidak lagi dipakai sama ada disimpan, dijual mahupun menghadiahkan kepada golongan memerlukan.

Amir Masdi

majoriti2023

Penyanyi lagu Puas, Amir Masdi mengatakan koleksi baju Melayu yang ada dalam simpanannya akan diberikan kepada sanak saudara.

Dia juga tidak pernah membuat sebarang jualan terhadap baju-baju tersebut.

“Baju-baju yang ada saya tidak pernah jual kepada sesiapa. Kebanyakkan diberikan kepada adik beradik dan ahli keluarga lain.

“Tidak kisah sama ada baju itu tidak padan dipakai lagi, warna yang sudah ada atau yang saya tidak mahu pakai lagi. Semuanya diberikan sahaja kepada mereka,” katanya.

Rozita Che Wan

majoriti2023 (24)

Siapa tidak kenal dengan pelakon jelita, Rozita Che Wan atau mesra di sapa sebagai Che Ta yang memiliki pesona dan kecintaan terhadap fesyen.

Boleh dikatakan setiap kali muncul di acara pentas mahupun hadir ke majlis tertentu, penampilan Che Ta sering mencuri tumpuan.

Kata Che Ta, dia sendiri tidak pernah menghitung jumlah pakaian yang dimiliki. Bagaimanapun, sebahagian daripada koleksi tersebut, dia memilih untuk menjualkannya.

“Mana yang sayang saya akan simpan, selebihnya akan dijual. Kalau hendak dikira jumlah baju yang ada memang tidak terkira.

“Namun sejak tiga tahun kebelakangan ini, saya mula menjual beberapa koleksi baju raya yang sudah tidak dipakai lagi,” ujarnya.

Nabila Razali

majoriti2023 (23)

Penyanyi lagu Selagi Aku Ada, Nabila Razali memilih untuk mendermakan pakaian baju kurung yang tidak lagi dipakai ke tabung derma pakaian.

Katanya, perkara itu sudah menjadi kebiasaan setiap tahun untuk dia dan beberapa ahli keluarga lain berbuat demikian.

“Saya ada rancang untuk jual baju-baju tersebut, tetapi apabila hendak mengemas saja, saya mula rasa sayang dan tidak jadi untuk melakukannya.

“Disebabkan itu kakak selalu membantu untuk mengemas, jadi dia akan bantu untuk menyusun semua baju untuk didermakan,” jelasnya.

Tambah Nabila, dia mengaku memiliki beberapa pasang baju kurung yang hanya dipakai sekali saja.

“Kadangkala susah sebab baju itu boleh dipakai sekali saja, selepas itu simpan. Daripada simpan tidak dipakai, lagi tidak baik. Jadi, saya dermakan saja atau berikan kepada keluarga terdekat.

“Selalunya saya memang mengutamakan ahli keluarga dahulu sebab, nanti mak akan cakap, baju sekian-sekian ini boleh diberikan kepada mereka,” ujarnya.

Amy Mastura

majoriti2023 (16)

Penyanyi yang terkenal dengan lagu raya, Setahun Sekali, Amy Mastura mengatakan dia lebih memilih menyimpan semua baju-baju yang ada.

Baginya setiap pakaian itu mempunyai sejarah dan memori tersendiri. Tambahan dia juga yang mempunyai nilai sentimen membuatkan dirinya sukar untuk mengambil sebarang keputusan.

“Saya masih ada lagi simpan baju pada awal pembabitan jadi artis sekitar tahun 1990-an. Ada yang disimpan elok-elok, tetapi tidak dinafikan ada juga yang rosak.

“Disebabkan rasa sayang, saya tiada perancangan untuk melakukan apa-apa pada baju tersebut. Jadi saya hanya memilih untuk menyimpannya saja,” katanya.

Azrel Ismail

majoriti2023 (1)

Pelakon drama bersiri, Melastik Ke Hatimu, Azrel Ismail pula memilih mendermakan baju yang sudah tidak boleh dipakainya lagi.

Jelas Azrel, sekiranya saiz baju tersebut tidak boleh dipakai lagi, dia hanya memberikan baju-baju itu kepada mereka memerlukan.

Pakaian itu sama diberi terus kepada penerima atau menerusi pihak tertentu yang akan mengakihkannya.

“Mana yang boleh dipakai lagi saya akan simpan saja dan pakainya semula. Kalau sudah mengecil, saya kan berikan kepada orang lain,

“Selalunya saya mendermakan baju lama sebab saya berpendapat berikan pada mereka memerlukan itu lebih baik dan dapat membantu orang kurang berkemampuan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram