SABAN tahun, peristiwa hitam yang terpateri kemas dalam lipatan sejarah keluarga Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain tidak pernah padam dari ingatan.
Biarpun sudah lebih lima tahun berlalu, namun segalanya tetap segar dalam kotak memori apatah lagi hal tersebut menggegarkan seluruh rakyat Malaysia.
Senyum terukir di bibir Zulkarnain Idros mungkin tidak seindah gelora jiwa yang dirasai mahupun terbuku dalam hati tatkala mengenangkan Allahyarham meninggal dunia akibat kecederaan seterika wap.
Zulfarhan mempunyai kesan melecur dan lebam dan disahkan meninggal dunia pada 1 Jun 2017 di Hospital Serdang, Selangor.
Tenang bercerita, nada suara Zulkarnain tetap menggambarkan bahawa luka lama tidak mudah pulih dalam sekelip mata. Sebagai bapa, Zulkarnain perlahan-lahan menyusun kata selari dengan emosi.
Meskipun sekadar perbualan di corong telefon, namun bapa empat anak itu ternyata masih belum sedia untuk kehilangan, apatah lagi berjauhan dengan anak sulungnya itu.
Pendakwah, Ustaz Ebit Lew menziarahi pusara Allahyarham Zulfarhan pada 2021.
Buktinya, hidangan kegemaran arwah ikan bawal masak sambal kerutup masih belum boleh dijamah. Jangan kata menjamah makanan, bahkan melihat ikan bawal sahaja sudah terasa bisa di hati.
Bayangkan, hidupan akuatik sekecil itu mampu menjadi 'kotak hitam' yang memutar semula kenangan Zulkarnain kepada arwah.
"Sekiranya dia dapat pulang ke rumah, itulah makanan kegemaran dia. Sesekali dia suka makan roti canai. Setelah kejadian itu, terus terang saya tidak mampu untuk makan apa makanan kegemarannya.
"Melihat juga tidak mampu. Tetapi, perlahan-lahan, saya mula terima dan makan roti canai. Tetapi, makanan yang paling digemarinya, ikan bawal masak sambal kerutup, saya masih belum boleh makan.
"Melihat ikan itu saja sudah cukup mengingatkan saya kepada arwah. Kenangan saya berputar-putar sehingga saya tidak boleh langsung melihat.
"Kata orang, luka itu sudah lama sembuh, tetapi parutnya tetap ada. Insya-ALLAH perlahan-lahan saya cuba, namun beri saya masa kerana kehilangan anak dalam keadaan sekelip mata bukan mudah," katanya kepada Majoriti.
Kenangan Zulkarnain bersama arwah anaknya yang tetap kekal menjadi kenangan terindah dalam hidupnya.
Baju Melayu kelabu
Seiring dengan tibanya Syawal, Zulkarnain memberitahu, dia sekeluarga lebih senang memilih untuk bersederhana.
Mengundur masa ketika awal Ramadan 2017, Zulkarnain mengatakan Allahyarham Zulfarhan Osman memilih untuk mengenakan busana rona kelabu. Pilihan itu mendapat persetujuan sekeluarga. Beberapa persiapan juga sudah dilakukan seperti menyediakan baju Melayu.
Katanya, baju Melayu bukan sukar jadi pakaian itu terlebih dahulu disediakan. Selain menyediakan untuknya, dia juga ada membelikan baju Melayu berwarna kelabu untuk arwah.
Namun, hajat melihat anak terunanya bergaya dengan baju Melayu itu tidak kesampaian. Arwah meninggal dunia kira-kira dua minggu sebelum seluruh umat Islam bergembira meraikan Syawal.
Kongsinya, setiap tahun apabila tibanya Syawal, Allahyarham Zulfarhan Osman akan mengisi beras dalam ketupat. Rutin sama dilakukan setiap tahun dan itulah menjadi kegemaran arwah. Meluangkan masa mengisi beras ke dalam ketupat sambil bergelak ketawa dengan keluarga.
"Kebiasaannya arwah akan menemani ibu dan adik-adik perempuan untuk mendapatkan baju kurung pada malam raya. Maklum pakaian perempuan ini sukar untuk dapatkan, berbeza dengan baju Melayu.
"Setiap kali raya, arwah memang rapat dengan saudara-mara dan sepupu. Dia juga mudah mesra dengan budak-budak. Kadangkala ada anak sepupu yang masih kecil boleh dia tidurkan," ujarnya.
Mendengarkan cerita Zulkarnain, ternyata kasih sayang bapa tidak akan hilang kepada anaknya itu sampai hujung waktu.
Allahyarham Zulfarhan disifatkan sebagai seorang yang sangat akrab dengan ahli keluarga dan sanak-saudara terutama apabila menjelang Lebaran.
Pada Disember 2021, Zulkarnain dan isteri, Hawa Osman berangkat ke tanah suci untuk menunaikan umrah.
Biarpun insan tersayang sudah tiada, namun Zulkarnain nekad membawa baju Melayu kelabu yang tidak sempat disarung ke tubuh Allahyarham ke Mekah.
Dalam nada perlahan, Zulkarnain memberitahu: "Abah bawa baju Melayu ini pergi umrah dengan mak."
Begitulah 'perbualan' ringkas Zulkarnain kepada 'anaknya'. Pakaian tersebut disimpan kemas di dalam beg yang tidak pernah dia lepaskan.
Usai pulang, Zulkarnain menyimpan kemas segala barangan yang dimiliki oleh arwah seperti unifom Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bersama baju Melayu itu dengan penuh kasih.
"Semua barang arwah seperti unifom termasuk baju Melayu itu saya simpan dalam almari. Setiap kali buka almari, pasti nampak baju itu.
"Semua barangan peribadinya ada yang sudah di simpan. Hanya beberapa barangan saja seperti pingat-pingat yang pernah diperoleh disimpan rapi dan basikal yang sering dia gunakan," ujarnya.
Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Teh, Johor Bahru, Johor,
Untuk rekod, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas enam bekas penuntut UPNM yang didapati bersalah menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh.
Keputusan tersebut dibaca oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah (2021) mendapati enam tertuduh bersalah di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Zulfarhan Osman tanpa niat membunuh.
Enam tertuduh itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Lima daripada mereka (kecuali Mohamad Shobirin) bersama 12 lagi turut disabitkan atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan Osman di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan bagi memeras pengakuan bersalah atau bagi memaksa supaya harta dipulangkan.
Seramai 12 tertuduh itu ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram