Bangga dengan diri sendiri, Michelle Yeoh terbuka bekerjasama dengan pengkarya tempatan


  • Hiburan
  • Selasa, 18 Apr 2023

Michelle bersama trofi Pelakon Wanita Terbaik Oscar ke-95 di ibu negara pada Selasa.

PELAKON tersohor, Tan Sri Michelle Yeoh yang juga pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Akademi ke-95 (Oscar) meluahkan rasa gembira sebaik saja menjejakkan kaki ke Malaysia pada Isnin.

Michelle atau nama lengkapnya Yeoh Choo Kheng, 61, memberitahu dia sangat merindui hidangan seperti kari laksa, nasi lemak dan nanchoy selain mengatakan itulah perkara pertama dilakukan dalam tempoh kurang 24 jam berada di tanah air.

MY

Michelle terbuka untuk bekerjasama dengan penggiat seni tempatan untuk menghasilkan karya bertaraf global.

“Saya rasa seronok selepas sekian lama tidak dapat pulang. Tentu saja saya akan melakukan perkara itu. Saya juga ingin berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberikan semangat dan sokongan sepanjang kerjaya saya.

“Kemenangan ini adalah yang terbaik untuk saya bersama-sama dengan khalayak untuk bercakap mengapa watak (lakonan dalam filem Everything Everywhere All At Once) penting,” katanya dalam Sidang Media Homecoming The Price Of Malaysia pada Selasa di sebuah hotel di ibu kota.

WhatsApp Image 2023-04-18 at 15.57.55

Filem Everything Everywhere All At Once menjadi karya kebanggan Michelle kerana berjaya menjulang namanya sebagai Pelakon Wanita Terbaik Oscar-95.

Wanita kelahiran Ipoh, Perak itu turut berbangga dengan keharmonian dan kepelbagaian kaum. Kelebihan itu disifatkan sebagai satu kekuatan luar biasa negara.

“Ke mana saja saya pergi saya tidak melihat perbezaan kaum kerana kita semua adalah satu. Kita dapat saling belajar tentang budaya dan tradisi antara satu sama lain.

“Lihat saja di Malaysia kita ada banyak cuti umum iaitu Hari Raya, Thaipusam dan Tahun Baru Cina yang turut diraikan oleh seluruh rakyat.

“Oleh itu kita perlu berasa bangga untuk mengangkat budaya masing-masing, terima dan saling menghargai,” jelasnya.

Dalam pada itu, Michelle juga berkongsikan pengalaman sebagai wanita Asia pertama yang berjaya menjulang trofi Oscar selepas hampir empat dekad dalam industri.

“Ini bukan satu perjalanan yang mudah. Saya perlu mengharungi pelbagai cabaran. Tidak dinafikan segalanya berlaku seperti roller coaster (naik turun).

“Saya juga bersyukur kerana berpeluang bertemu dengan ramai pengkarya hebat dan memberi peluang untuk berada sehingga sampai ke tahap sekarang.

“Jadi percaya pada kemampuan sendiri dan jangan mudah mengalah. Mujur saya tidak mempunyai fikiran begitu pada awal pembabitan sebagai anak seni. Saya sentiasa menanam sikap jangan mudah berputus asa,” ujarnya optimis.

WhatsApp Image 2023-04-18 at 15.58.55

Michelle menerima hadiah dan jambangan bunga daripada ahli keluarga, kenalan dan peminat selepas tiba di tanah air pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, Michelle juga terbuka untuk bekerjasama dengan pengkarya tempatan sekali gus membawa naskhah tempatan ke peringkat global.

Beliau juga menolak untuk memegang tanggungjawab sebagai pengarah. Sebaliknya, beliau lebih selesa menjadi penerbit.

“Saya tahu kita ada ramai pengkarya hebat. Apa yang diperlukan ialah peluang dan ruang (platform) untuk saling bekerjasama.

“Saya sentiasa terbuka menerima cabaran. Siapa tahu kalau kita sendiri mungkin boleh memiliki karya francais sendiri. Berkarya itu dunia yang tiada had.

“Kita tidak perlu buat filem tentang diri sendiri, tetapi boleh saling bekerjasama dengan pelbagai negara seperti Singapura, Thailand, Vietnam, Laos, Hong Kong dan China untuk dijadikan sebagai satu karya,” katanya.

Sementara itu Michelle turut mengatakan dirinya akan berangkat ke London, United Kingdom untuk menjalani penggambaran sebelum pulang semula ke tanah air sekitar Julai atau Ogos nanti.

Untuk rekod, Michelle memulakan kerjaya lakonan sekitar tahun 1980-an dan pernah memenangi beberapa anugerah antaranya Anugerah Wanita Terbaik Golden Globe 2023 dan Pelakon Wanita Terbaik Screen Actors Guild Award 2023 bagi filem Everything Everywhere All At Once.

Antara filem lakonannya Tomorrow Never Dies, Memoirs Of A Geisha, The Lady, The School For Good and Evil, Guardians of The Galaxy Vol 2, Avatar 5 dan Crazy Rich Asians. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram