MEMBACA surah Yasin bagi individu yang sudah meninggal dunia merupakan antara kebiasaan yang sering dilakukan oleh ahli keluarga mahupun kenalan rapat.
Selain mengadakan bacaan di rumah, Yasin juga dibaca di kubur si mati dengan harapan agar dapat memberi manfaat dan pahala buat mereka yang sudah tiada.
Daripada ilmuan Islam, Ma’qil Yasar bahasa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Bacalah surah Yasin kepada orang yang meninggal di antara kamu.” (Riwayat Abu Daud, 2714)
Meskipun sebilangan ulama berpendapat bahawa hadis ini sahih manakala ada pula mengatakan tidak, bagaimanapun menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri, pihaknya berpendapat bahawa hadis terbabit adalah dhaif, tetapi mempunyai syawahid berkaitan membaca Yasin untuk orang yang hendak meninggal.
Membaca doa atau bacaan al-Quran disarankan agar dilakukan di samping kanan kubur si mati. — Bernama
Untuk info, syawahid atau Al-syawahid merupakan gabungan bagi perkataan al-Syahid yang bermaksud apabila terdapat hadis lain yang diriwayatkan oleh sahabat lain dan hadis tersebut menyokong sama ada dari sudut lafaz atau makna hadis sokongan itu.
Menjawab bagi membaca Yasin di kubur atau orang yang sedang nazak adalah sunat bagi mereka yang mempercayai hadis tersebut. Bahkan tiada larangan bagi muslim untuk membaca al-Quran lalu menghadiahkan pahala kepada si mati.
Namun bagaimana pula dengan kedudukan individu yang ingin membaca Yasin atau doa ketika menziarahi tapak perkuburan.
Menurut pendakwah selebriti, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar, tiada sebarang masalah atau tentangan untuk duduk membaca doa atau membaca ayat suci al-Quran untuk si mati.
Menziarahi kubur diharapkan dapat menimbulkan keinsafan dalam diri invididu yang masih hidup. — Bernama
Hal ini kerana asas kepada menziarahi kawasan perkuburan adalah untuk memberi keinsafan pada diri agar mengingati kepada kematian.
“Situasi itu tiada masalah sama ada untuk membaca di mana-mana bahagian pun di kubur. Namun, asas umum dalam Islam mengutamakan samping kanan.
“Bagaimanapun tiada menimbulkan sebarang kesalahan untuk membaca Yasin atau doa sama ada di kepala, kaki, samping kiri atau kanan. Ini kerana menziarahi kubur, mengiringi jenazah ke kubur dan berdoa kepada si mati adalah peringatan buat kita yang masih hidup,” katanya kepada Majoriti.
Oleh itu secara kesimpulannya, sebagai umat Islam yang masih hidup, tidak salah untuk mendoakan kesejahteraan buat si mati agar kita sama-sama mendapat pengajaran dan keinsafan bahawa dunia ini hanya bersifat sementara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram