Muna Shahirah gembira bakal suami tekun ikuti kelas agama lepas bergelar mualaf


  • Hiburan
  • Khamis, 20 Apr 2023

Muna teruja untuk menyambut Syawal pada tahun ini bersama keluarga sebelum mendirikan rumah tangga.

PENYANYI terkenal dengan lagu Teguh Setia, Muna Shahirah gembira dan bersyukur apabila bakal suaminya Sean Abdullah yang merupakan seorang mualaf bersungguh-sungguh mendalami agama Islam sebelum berumah tangga.

Kata pemilik nama lengkap Muna Shahirah Munadi, 28, mereka akan saling berbincang sekiranya terdapat persoalan tentang agama yang kurang jelas.

“Jika ada perkara yang tidak tahu, dia akan bertanya dengan saya. Jadi sebelum menerangkan kepadanya saya akan membuat bacaan dan fahami dahulu perkara itu betul-betul dan kemudian jelaskan kepadanya.

“Syukur mualaf di Malaysia sering mendapat perhatian daripada pihak Jabatan Agama Islam yang akan memantau dan mengadakan kelas agama. Sean sendiri menghadiri kelas agama setiap minggu.

Selain menyanyi, Muna juga aktif sebagai streamer atau pemain penstriman video profesional.

“Jika tidak ke kelas, dia boleh berhubung terus dengan ustaz di telefon bagi mendapatkan sebarang jawapan tentang agama Islam. Tidak dinafikan perkara itu membuatkan kami berdua saling belajar untuk lebih mendalami ilmu agama,” terangnya kepada Majoriti.

Dalam pada itu Muna juga mengakui teruja untuk meraikan Aidilfitri tahun ini kerana bakal menjadi tahun terakhir beraya dengan gelaran ‘single’.

Disebabkan itu dia lebih memberi fokus untuk meluangkan masa dengan keluarga di Kuantan, Pahang sebelum mendirikan rumah tangga dengan Sean, 25.

Katanya, situasi tersebut mungkin berbeza berbanding dirinya sekarang yang masih belum berkahwin memandangkan selepas ini dia perlu meluangkan waktu dengan keluarga bakal mentua.

majoriti2023 (18)

Muna akan mendirikan rumah tangga dengan Sean dalam masa terdekat, namun masih tidak mendedahkan tarikh sebenar majlis tersebut.

“Syawal tahun ini sangat bermakna buat saya. Insya-ALLAH saya bakal bergelar isteri tidak lama lagi. Jadi saya ingin cuba meluangkan masa sebanyak mungkin dengan keluarga.

“Bukan bermaksud nanti lepas kahwin saya tidak akan ada dengan mereka, cuma apabila sudah ada tanggungjawab nanti perkara itu bimbang akan terhad, ” katanya.

Mengulas mengenai majlis perkahwinan, Muna memberitahu kira-kira sebanyak 80 peratus persiapan sudah dibuat menjelang berlangsungnya hari istimewa itu tidak lama lagi.

Bukan sahaja melibatkan kelengkapan majlis, Muna turut memberitahu bahawa dia banyak bertanyakan kepada kenalan tentang bagaimana melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri.

“Adalah saya bertanya dan meminta nasihat daripada kawan-kawan mengenai menguruskan rumah tangga sebagai isteri. Berdebar itu memang ada, tetapi insya-ALLAH minta segalanya dipermudahkan,” ujarnya.

Penyanyi lagu Bukan Milikku itu juga mengatakan dia tidak memiliki perancangan untuk menghadkan aktiviti seni selepas berkahwin nanti.

Jelasnya, perkara itu tidak dibahaskan antaranya dengan bakal suami yang merupakan seorang streamer atau pemain penstriman video profesional.

“Saya juga seorang streamer dan kami saling memahami kerjaya masing-masing. Pada saya streamer dan nyanyian berada dalam bidang yang sama, jadi saya rasa tiada masalah.

“Cuma selepas ini saya perlu tahu bagaimana untuk membahagikan masa dengan antara kerjaya nyanyian, streamer dan rumah tangga,” katanya.

Untuk rekod, hubungan Muna dan Sean mula terjalin sejak 2020 selepas kedua-duanya saling mengenali di lapangan penstriman video profesional. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram