'Hari raya bukan untuk kami', ibu tunggal cekal besarkan 8 anak sendirian


  • Massa
  • Sabtu, 22 Apr 2023

Faridah bersama anaknya, Hakimi dan kakaknya Hanizan yang memilih untuk menyambut Syawal secara sederhana.

SETELAH kehilangan suami pada 2021, Faridah Harun sendirian membesarkan lapan anak dengan penuh sabar. Meskipun sesekali berasa ingin 'melarikan' diri, namun dia tidak mampu melenyapkan realiti kehidupan sebenar.

Tabah dan sabar, wanita berusia 45 tahun itu menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga dalam mencari nafkah bagi mencukupi setiap keperluan rumah tangga.

Menerima tempahan makanan secara dalam talian, hasil jualan itu dapat membantu dia sembilan beranak meneruskan kelangsungan. Biarpun tidak seberapa, namun tetap berasa cukup.

"Bukanlah banyak mana, tetapi dapat digunakan menampung kami sekeluarga, memadai untuk membeli makanan, itu sudah berbaloi.

"Biarpun tidak mewah, alhamdulillah saya sangat bersyukur anak-anak tidak terlalu meminta-minta itu dan ini. Masing-masing seperti faham, setelah ketiadaan bapa, mereka faham," katanya kepada Majoriti.

Setiap bulan dianggarkan Faridah mendapat lingkungan RM500 hingga RM1,000 sebulan hasil daripada jualan makanan tersebut.

Dia akan mengambil tempahan menu seperti lontong, nasi ayam, nasi daging dan laksa. Setiap pesanan diterima terus daripada pelanggan atau menghantar juadah tersebut di gerai.

file7prblqjjn8n183ifkaih

Faridah (kanan) bersama kakaknya, Hanizan dan anaknya Hakimi.

Dalam pada itu, bercerita tentang sambutan Syawal, Faridah memberitahu, dia sekeluarga memilih menyambutnya secara sederhana.

Tidak perlu terlalu meriah kerana bagi Faridah, dia sedar ruang untuk mengukur baju di badan sendiri.

Oleh itu, pakaian yang masih boleh dipakai akan diguna semula. Tambahan, mereka sekeluarga hanya meraikan Syawal pada hari raya pertama sahaja.

Selebihnya, hari-hari dilalui seperti biasa tanpa sebarang rasa istimewa biarpun segelintir masyarakat ada yang menyambutnya selama sebulan.

"Saya sudah kematian suami dan ibu. Jadi raya itu hanya di rumah sahaja. Tidak ke mana-mana.

"Lagipun raya meriah hanya untuk orang berada saja. Jadi biarlah kami begini, senang tidak perlu banyak belanja," ujarnya perlahan.

Faridah yang menetap di Kemensah Heights, Ampang, Selangor turut memiliki seorang anak istimewa yang mempunyai kad orang kelainan upaya (OKU).

Sejak umur 11 tahun, anak lelakinya mula mempamerkan sikap berbeza berbanding kanak-kanak lain. Setelah diperiksa, doktor mengesahkan anaknya menghidap mild (sederhana) autism.

file7prblouzh3n3aarwaii

Faridah (kanan) selesa meraihkan Aidilfitri secara sederhana dengan lapan orang anak dan kakaknya di Kuala Lumpur.

Berlapang dada menerima takdir, anak kedua daripada lapan adik beradik itu bagaimanapun boleh berdikari dan menguruskan diri sendiri.

"Kadangkala apabila marah saja dia akan mengamuk, membaling barang, marah-marah dan menjerit. Boleh dikatakan dia sama seperti anak normal lain, tetapi tidak mampu mengawal kesabaran.

"Apabila barangnya diusik atau beralih tempat, biliknya berselerak atau menunggu terlalu lama, dia pasti akan mengamuk. Saya akan pujuk dia secara perlahan-lahan dan biarkan dia tenang dengan sendiri," ujar Faridah mengenai anaknya yang dipanggil Hakimi.

Membesarkan anak lingkungan usia 17 hingga tujuh tahun, Faridah bersyukur banyak pihak menghulurkan bantuan bagi meringankan beban. Dia yang juga penerima bantuan Zakat Selangor dan Masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati di ibu negara.

Bantuan diterima dapat digunakan untuk menguruskan kelengkapan sekolah anak-anak, membeli keperluan dapur dan membayar sewa rumah.

Selain sumbangan kewangan, empat daripada lapan anaknya juga mendapat tajaan pengajian fardu ain dan bacaan al-Quran.

"Saya tiada pekerjaan tetap. Dahulu sebelum berkahwin saya bekerja dalam bidang pemasaran. Kemudian saya pilih untuk fokus kepada keluarga. Setelah suami meninggal dunia, saya agak sukar untuk mendapat pekerjaan.

"Mana tidaknya, anak semua bersekolah dan memerlukan perhatian. Saya tidak cukup belanja untuk menampung kos penghantaran bas sekolah bagi lapan anak.

"Jadi saya urus sendiri, hantar dan ambil mereka dari sekolah dengan menggunakan kereta peninggalan arwah. Itulah cara kami sekeluarga bergerak ke mana-mana," jelasnya.

Selain menguruskan anak-anak, Faridah juga akan meluangkan masa untuk membantu kakaknya, Hanizan Hashim yang juga ibu tunggal dua anak tinggal sendiri berhampiran dengan rumahnya.

Kakaknya yang juga warga emas berusia 67 tahun itu mengalami masalah kesihatan gangguan saraf dan kadangkala berhadapan dengan kesukaran untuk bergerak.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram