Gimik murahan atau mangsa fesyen? Jom imbau semula 5 baju raya 'pelik tapi benar'


  • Massa
  • Sabtu, 22 Apr 2023

Beberapa rekaan fesyen baju Melayu Aidilfitri yang dilabel 'memalukan' oleh masyarakat.

SELESAI sudah menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, umat Islam bakal meraikan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang pastinya dinanti-nantikan saban tahun.

Merupakan detik bermakna bukan sahaja buat seisi keluarga, perayaan itu juga menjadi titik kemaafan buat seluruh masyarakat tanpa mengira hubungan yang secara dasarnya adalah intipati utama di pagi raya.

Selain itu, masyarakat juga tidak ketinggalan bagi mengenakan busana pakaian tradisi Baju Melayu dan Kurung yang sekian lama menjadi identiti bagi kaum Melayu menjelang Aidilfitri.

Namun, peredaran zaman kebelakangan ini semakin dimonopoli fesyen serta rekaan pakaian di pagi raya yang kian dicemari dengan trend budaya asing.

Lihat sahaja akan fesyen baju Melayu 'slim fit' yang semakin digilai golongan remaja masa kini, walhal rekaan asal di zaman dahulu kala mempunyai 'pesak' yang lebih mengutamakan keselesaan dan yang paling utamanya adalah menutup aurat.

Enggan menyalahkan mana-mana pihak, namun pengaruh kuat di laman media sosial merupakan antara faktor utama yang membawa kepada pengenalan imej serta fesyen pelik yang dihasilkan golongan pereka pada zaman kini.

Berikut merupakan lima fesyen 'viral' yang pernah mencetuskan sensasi malah dikecam hebat kerana didakwa menjatuhkan martabat Melayu di mata dunia:

hipster

Baju Melayu Hipster

Golongan muda khususnya semakin tergila-gilakan fesyen 'hipster' dibawa dari negara Barat yang sememangnya lari daripada prinsip budaya Melayu di negara ini.

Pereka fesyen, Zery Zamry memberanikan diri apabila menghasilkan koleksi rekaan Aidilfitri segak bergaya yang dikecam hebat kerana terlampau 'ketat' dan disulami pelbagai rekaan warna yang kontra.

Bagi rekaan Butang Baju Melayu, Zery Zamry meminimumkan reka bentuk butang baju dan menerapkan elemen maskulin yang nyata jauh dari prinsip kemelayuan asal yang sepatunya terdiri daripada lima butang.

Zery Zamry juga melancarkan rekaan Jubah dan Kurta di dalam Koleksi Hipster Melayu, dan sesetengah pihak mendakwa harga dijual terlampau mahal iaitu bermula daripada harga RM380 bagi sepasang baju Melayu tanpa aksesori.

swim

Baju Melayu 'Swimsuit'

Baju Melayu ciptaan pereka Amir Kadir menjadi bualan hangat di segenap pelusuk netizen di laman media sosial apabila fesyen yang dikenakan terlampau ketat hingga menampakkan susuk tubuh badan si pemakai.

Dilabel persis pakaian renang, rekaan Amir Kadir mengundang seribu satu kecaman dan ada mendakwa pakaian itu tidak sesuai untuk dipakai ketika menunaikan ibadah.

Baju Melayu yang sepatutnya memberikan keselesaan buat si pemakai, nyata gagal diterjemahkan olehnya apabila terlampau mengikuti trend dan kehendak pasaran semasa yang jauh meninggalkan budaya Melayu.

lead - 20

Baju Melayu 'Name tag'

Selain pereka fesyen, beberapa individu dan pempengaruh juga tidak terlepas daripada menghasilkan rekaan busana Melayu bersempena perayaan Aidilfitri.

Penceramah agama tersohor negara, Ebit Lew juga melancarkan rekaan baju Melayu tersendiri, namun ia meninggalkan pelbagai komen dan reaksi kurang menyenangkan dalam kalangan warganet.

Ia bertitik tolak daripada fesyen yang dikatakan terlampau ketinggalan zaman dan lusuh seperti pakaian pelajar sekolah kerana mempunyai label jenama yang terlampau besar di bahagian poket.

Jahitan jenama ELEWS yang disulam dilabel saling tidak tumpah seperti tag nama pelajar semasa di bangku sekolah selain kualitinya juga turut dikecam hebat kerana didakwa terlampau lusuh dan tidak kemas seperti jenama lain.

breast

Fesyen lengan pendek, 'breast feed'

Pelakon Erry Putra pernah mencetuskan kontroversi apabila menghasilkan rekaan Baju Melayu pelik yang dilabel seperti konsep 'breast feed' dan berlengan pendek.

Meskipun masih mengekalkan elemen Cekak Musang dan Teluk Belanga, namun jahitan serta lapisan kain di bahagian hadapan baju melihatkan fesyen yang direka kurang bersesuaian selain turut mengundang rasa malu buat si pemakai.

Selain itu, rekaan lengan pendek yang dikenalkan kurang menepati citarasa masyarakat Melayu yang sudah terbiasa dengan lengan panjang yang lebih kemas dan sedap dipandang.

Menolak dakwaan mengatakan ia sebagai gimik pemasaran yang sengaja dilakukan, Erry Putra berharap agar orang ramai menerima baik rekaan yang dihasilkan selain turut berterima kasih kepada individu yang mengecamnya sehingga tular di laman media.

sadod

Jubah Sado

Selain daripada pemakaian busana baju Melayu di pagi raya, sesetengah masyarakat juga gemar mengenakan pakaian jubah yang dikatakan lebih selesa dan sesuai untuk beribadah.

Namun, pengasas Farbel Exclusive, Syubaili Aziz mengambil kesempatan atas pemintaan tinggi bagi pakaian jubah apabila menghasilkan rekaan yang pelik dan terlampau ketat digelar Jubah Sado.

Koleksi jubah ketat dengan warna terang dihasilkan untuk kaum Adam oleh Farbel Exclusive, disifatkan sebagai 'fesyen liar' oleh sesetengah pihak dan laporan media tempatan.

Pakaian jubah yang sepatutnya mengikut adab dan tertib telah dimanipulasi secara menyeluruh oleh pengasas tersebut sehingga menjolok mata.

Jubah itu ditawarkan dalam rekaan warna merah jambu, hijau terang dan biru terang dengan harga RM225 sepasang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram