[VIDEO] Api marak tiba-tiba, 13 buah motosikal rentung terbakar di parkir KLCC


  • 112
  • Khamis, 13 Apr 2023

Tangkap layar kebakaran berlaku di sebuah ruang parkir motosikal di Suria KLCC, Jalan Ampang Kampung Bahru, Kuala Lumpur.

KECOH apabila ruang parkir kenderaan motosikal di Suria KLCC, Jalan Ampang Kampung Bahru, Kuala Lumpur dilaporkan terbakar pada Khamis.

Ketika kejadian, kepulan asap dan api marak kelihatan dari jarak jauh sambil disaksikan orang ramai yang berada di lokasi tersebut.

Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan dari MERS pada pukul 3.46 petang.

Menurut Komander Operasi Mohd Iqbal Khan Malek Khan, kira-kira 13 buah motosikal dilaporkan rentung dalam kebakaran terbabit.

"Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, terdapat 13 buah motosikal dan empat buah skuter elektrik terlibat dalam insiden berkenaan.

"Peratus kebakaran boleh dikatakan sebanyak 100 peratus melibatkan sembilan buah motosikal, tiga buah dengan dua peratus, sebuah dengan 20 peratus manakala empat buah lagi skuter elektrik dengan 100 peratus kesan kebakaran.

"Operasi pemadaman api menggunakan teknik offensive dan defensive dijalankan untuk memadam kebakaran daripada terus merebak," katanya dalam satu kenyataan.

Api dapat dikawal dan dipadamkan pada pukul 4.06 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram