'Lelaki Melayu pakai kurta di pagi raya, sama je macam Mat Bangla'


  • Massa
  • Ahad, 23 Apr 2023

Fesyen Kurta di Hari Raya Aidilfitri semakin diminati anak-anak muda zaman sekarang berbanding busana Baju Melayu. — Gambar hiasan

UMUM mengetahui bahawa busana Baju Melayu sememangnya tradisi dan pakaian wajib di Hari Raya Aidilfitri selain turut menjadi identiti yang perlu dikekalkan masyarakat hari ini.

Namun, peredaran zaman yang semakin maju pada masa kini mula memberikan impak kepada pemakaian dan fesyen dalam kalangan masyarakat Melayu khususnya menjelang Aidilfitri yang dikatakan semakin ditelan budaya luar.

Manakan tidak, anak-anak muda sekarang semakin lupa akan asal-usul dan tradisi pemakaian Baju Melayu apabila mereka lebih gemar mengenakan kurta di pagi raya.

Fesyen kurta yang berasal dari kebanyakan negara India, Bangladesh dan Pakistan semakin menguasai pasaran di Malaysia dan lebih menyedihkan, segelintir masyarakat Melayu memilih kurta sebagai busana di Hari Raya.

Ia sekali gus menunjukkan betapa pemikiran bangsa Melayu ketika ini mula dikuasai oleh fesyen dan pakaian yang bukan daripada tradisi nenek moyang, sekali gus mengundang kerisauan dalam kalangan penggiat seni dan pereka fesyen akan perkara yang bakal berlaku di masa akan datang sekiranya situasi itu berterusan.

Mengulas lanjut perkara tersebut, bekas Pensyarah Kanan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam, Selangor, Mohammad Wazir Jahilan berkata, busana Baju Melayu sepatutnya perlu kekal menjadi keutamaan terutamanya di pagi Aidilfitri.

wazie

Mohammad Wazir Jahilan merupakan antara pereka busana kontinjen Malaysia pada Kejohanan Olimpik Tokyo 2020. — Facebook/Wazir Jahilan

"Hari pertama mesti pakai Baju Melayu kerana ia merupakan tradisi dan adat bangsa kita sejak zaman dahulu lagi, kalau nak pakai kurta biarlah di hari seterusnya.

"Kita mungkin boleh terima pakaian dari negara luar tetapi bukan di hari keramaian, hari-hari lain tidak menjadi masalah sekiranya ingin memakai kurta tetapi jangan sampai budaya kita dijajah fesyen dan tradisi luar.

"Hari Jumaat memang individu dari negara India, Bangladesh dan Pakistan akan pakai baju kurta kerana ia merupakan pakaian tradisi mereka, tetapi dah menjadi ikutan anak muda kita kerana ia mudah dipakai bersama seluar jeans dan sebagainya, lama-kelamaan orang Melayu dah sama macam Bangladesh," dakwanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, beliau turut meninggalkan pesanan kepada pereka fesyen zaman sekarang supaya tidak terikut-ikut dengan trend semasa yang merepek.

Menurutnya, sesetengah pereka muda sekarang lebih mengutamakan keuntungan daripada penghasilan busana Melayu berkualiti yang boleh dijadikan contoh buat generasi akan datang.

"Nasihat saya kepada pereka muda, jangan dilupakan asal-usul kita sebagai orang Melayu, kurta ini semua budaya orang luar jadi di manakah tradisi yang perlu diangkat, adakah budaya luar yang perlu dibangga-banggakan?

"Apabila cipta pakaian baharu, intipatinya perlu menutup aurat dan zaman sekarang pengaruh itu dimainkan di media sosial, jadi kalau hari-hari disogok dengan benda sama maka ia akan menguasai minda anak muda dan terlalu ikut fesyen budaya luar.

"Pereka fesyen main peranan penting, saya selalu tekankan pelajar saya untuk pertahankan budaya dan asal-usul kita, bukan tak boleh import budaya luar tetapi perlu berpada-pada," tambahnya.

Menjangkakan situasi lebih buruk akan berlaku untuk tempoh lima tahun akan datang sekiranya perkara itu tidak dibendung, Mohammad Wazir menggesa orang ramai untuk memboikot pereka fesyen tidak bertauliah yang menghasilkan rekaan merepek.

"Pereka fesyen pelik-pelik ni, saya seru orang ramai boikot sahaja, sebab mereka dah lari daripada rekaan yang sepatutnya jadi kenapa perlu disokong lagi.

"Kita lihat di Jepun, mereka masih lagi mendukung rekaan budaya dan tradisi mereka apabila berbangga memakai Kimono, jadi kenapa kita tak boleh buat benda sama," ujarnya mengakhiri perbualan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram