Syawal pertama bergelar suami, Aizat Amdan tak sabar nak beraya di JB


  • Hiburan
  • Selasa, 18 Apr 2023

Aizat mengakui pasangan berumah tangga perlu saling bertolak ansur dan melengkapi kekurangan dan kelebihan antara satu sama lain.

SEJAK mendirikan rumah tangga pada Ogos 2022, penyanyi Aizat Amdan mengakui dia banyak belajar tentang tanggungjawab sebagai suami dan sikap bertolak ansur dalam berumah tangga.

Aizat atau nama lengkapnya Muhammad Aizat Amdan, 34, berkata, hal yang penting kepada pasangan ialah komunikasi dan saling memahami antara satu sama lain.

“Selepas kahwin saya baru faham isteri yang memiliki kebiasaan berbeza daripada saya. Sebagai contoh saya ini seorang yang mudah untuk tidur, tetapi Elyssa pula berbeza.

“Dia kadangkala sukar untuk tidur malam dan akan berjaga. Jadi di situ saya kena faham yang bukan semua orang sama dengan kita,” terangnya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, pelakon filem Istambul Aku Datang itu turut tidak sabar untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga isteri, Elyssa Alia Illias di Johor. Dahulunya persiapan menyambut Syawal lebih fokus kepada diri sendiri kini perlu menyediakan untuk isteri tercinta.

Snapinsta.app_316683954_1326756634797866_8126640152532466919_n_1080

Ai.z dikhabarkan akan membuat persembahan bersama dengan Yuna.

“Dahulu perancangan saya banyak untuk diri sendiri. Tetapi kini saya perlu pastikan keperluan isteri juga cukup. Makanan dan sebagainya perlu ada lebih-lebih lagi dah nak raya ini.

“Raya tahun ini mungkin saya akan menyambut di Kuala Lumpur dahulu kemudian pulang ke kampung Elyssa di Johor Bahru.

“Memandangkan ini raya pertama sebagai suami, saya memang agak teruja untuk pulang berjumpa dengan keluarga isteri di Johor nanti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aizat bersyukur kerjaya nyanyiannya berjalan dalam keadaan baik di samping mendapat beberapa undangan persembahan.

Bukan saja ‘jenama’ Aizat, malah dia yang turut memiliki pesona versi Inggeris iaitu Ai.z juga sibuk dengan perancangan untuk mengadakan konsert.

Snapinsta.app_298964872_5807596079273346_398504837813457125_n_1080

Raya pertama sebagai suami isteri, Aizat tidak sabar untuk pulang berhari raya di kampung halaman isterinya, Elyssa di Johor Bahru.

Ujar Aizat, Ai.z adalah personaliti berbeza berbanding Aizat Amdan yabg lebih fokus kepada kerjaya muzik tempatan terutama menyanyikan lagu bahasa Melayu.

“Saya ada beberapa perancangan persembahan untuk Ai.z. Namun masih terlalu awal untuk diperkatakan sekarang. Bagaimanapun pilihan lokasi persembahan ini ada di beberapa tempat di Malaysia, Indonesia dan Berlin (Jerman).

“Kita tunggu dan lihat bagaimana perancangan itu berjalan. Saya sendiri juga tidak sabar untuk membuat persembahan sebagai Ai.z memandangkan albumnya juga sudah dilancarkan sebelum Ramadan.

“Insya-ALLAH mohon doakan agar segalanya berjalan dengan lancar nanti. Saya juga ada menyuarakan hal ini kepada Yuna dan nanti kita tunggu dan lihat saja,” katanya teruja.

Untuk rekod Ai.z ialah identiti kedua atau alter ego Aizat dalam mempersembahkan nyanyian bahasa Inggeris.

Ai.z juga melancarkan album baharu bertajuk Everything In Between. Antara lagunya ialah Show You What Love Is, Take Me Away, The Last Thing dan Everything In Between.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram