DALAM usaha menyediakan pengisian terbaharu dan menarik kepada pendengar setia, stesen ketiga terbesar di Malaysia, Suria FM mempersembahkan sebuah lagu khas sempena Ramadan tahun ini.
Semua program yang disajikan boleh didengari menerusi frekuensi Suria FM atau platform digital antaranya saluran YouTube Suria TV, Facebook Suria FM dan Aplikasi Suria Malaysia.
Buat julung kalinya, Suria FM bersama label muzik Nova menghasilkan sebuah lagu khas sempena Ramadan berjudul Ilusi Fatamorgana yang dinyanyikan oleh barisan penyampai segmen Morning Morning Suria iaitu Ajak, Shuib dan Suraya.
Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin), lagu Ilusi Fatamorgana menyampaikan mesej mengenai insan yang sedang berusaha mencari kehidupan sebenar di sebalik kegelapan dan ia sangat sesuai didengar oleh semua lapisan masyarakat.
"Kami di Suria FM amat berharap pesanan yang disampaikan menerusi lagu berunsur kehidupan dan kemanusiaan ini diterima baik oleh semua pendengar khususnya seluruh umat Islam yang kini sedang menyambut Ramadan," katanya.
Bagi sesiapa yang ingin mendengar lagu Ilusi Fatamorgana, ia akan dilancarkan pada 28 Mac dan boleh didengari di platform digital Suria FM.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram