SETELAH hampir dua tahun kehilangan isteri tercinta, pelakon dan penyampai radio Suria FM, Shuib mengakui bakal menamatkan zaman duda dengan Watie Hanifiah pada Jun depan.
Mengakui tentang itu, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 38, tidak menolak bukan mudah buat wanita terbabit menggalas tanggungjawab sebagai isteri sekali gus menjadi ibu kepada empat orang anak.
Kata Shuib, bakal isterinya itu bijak mengambil hati ibu dan anak-anak selain banyak menghabiskan masa bersama.
“Pada saya berat juga untuk dia duduk di situ. Anak-anak terlalu selesa dengan dia, keluarga pun selesa dengan dia. Biarpun sebelum ini ada beberapa isu yang tidak enak didengar, tetapi ALLAH permudahkan segalanya.
“Insya-ALLAH apabila ALLAH permudahkan segala urusan itu, bermaksud itu satu petanda baik. Mudah-mudahkan ini akan menjadi satu hal yang baik buat dan mengharapkan agar semuanya akan berjalan dengan baik,” katanya.
Shuib mengakui tidak boleh hidup sendiri dan memerlukan sokongan (support system) yang baik dalam hubungan kekeluargaan.
Dalam pada itu, pelakon filem Abang Long Fadil itu juga mengakui bahawa dia tidak mampu untuk hidup sendiri apatah lagi setelah kehilangan Allahyarham Siti Sarah pada Ogos 2021.
“Bila tengok anak-anak, saya cakap memang saya perlu seseorang untuk ada dengan saya. Kita tahu kebolehan dan kemampuan diri.
“Jadi apabila ada orang yang sudi bersama dengan kita, saya amat menghargainya. Saya tidak tahu ke hadapan itu macam mana, tetapi tentu sahaja kita mengharapkan masa depan yang lebih baik.
“Saya memerlukan support system (sokongan) yang baik. Saya tidak pandai sendiri sebab saya suka meriah. Berkumpul dengan keluarga, jemput rakan-rakan datang rumah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shuib turut menghargai usaha Watie untuk menjadi sebahagian daripada keluarganya.
“Arwah memang tidak boleh diganti. Tetapi pada masa saya, boleh dikatakan ada 20 peratus perangai (Watie) sama dengan Sarah.
“Terus terang saya sangat menghargai bagaimana dia menjaga anak saya, saya sangat menghargai usaha-usaha dia untuk mak saya, untuk sebelah mentua saya sebelum ini,” terangnya.
Shuib turut memaklumkan 30 peratus persiapan perkahwinan sudah disiapkan dan dia tidak menolak menerima sebarang tajaan untuk majlisnya itu nanti.
Sebelum ini Shuib berkahwin dengan Siti Sarah pada 26 Februari 2011 dan dikurniakan empat orang cahaya mata, Uwais Alqami, Dzahira Talita Zahra, Aniq Matin dan Ayash Affan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram