Demi impian anak, bapa berkerusi roda sanggup menari atas pentas


Potter bersama anaknya yang kini aktif berkongsi teknik tarian menggunakan kerusi roda secara dalam talian.  — Agensi

SELEPAS terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2006, seorang lelaki terpaksa menggunakan kerusi roda untuk memudahkan pergerakannya.

Charlas Potter yang dilanggar oleh seorang pemandu mabuk di Winchester, Virginia, Amerika Syarikat bagaimanapun tetap positif dan tidak menjadikan perkara itu sebagai halangan buatnya melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Bagi membuktikannya, Potter menari bersama anak perempuannya berumur enam tahun, Charlize di atas pentas bagi memenuhi acara di sekolah.

Aksi tarian itu kemudian dirakam oleh isterinya Potter, Rhonda Conrad dan dimuat naik ke TikTok.

“Mereka belajar tarian itu selama empat hari sebelum membuat persembahan,” katanya di ruangan kapsyen.

Bukan sahaja dihujani dengan kata-kata semangat, video tersebut turut mendapat 13 juta tontonan dan lebih dua juta tanda suka.

Mengulas mengenai itu, Potter mengatakan dia tidak mahu menganggap menggunakan kerusi roda akan menghadkan pergerakan mahupun kehidupannya.

dad1-ht-ml-230414_1681498467242_hpEmbed_9x11_992

Potter bersama anak perempuannya Charlize.

“Walaupun mempunyai keupayaan yang terbatas, saya tidak teragak-agak untuk memenuhi permintaan anak perempuan saya untuk hadir ke acara tarian bapa dan anak itu.

“Awalnya dia bertanyakan kepada saya sama ada bersedia atau tidak untuk menari bersama, saya katakan jika mahukannya, apa lagi, mari kita lakukan,” ujarnya.

Sejak video tersebut tular, pasangan anak beranak itu mendapat banyak permintaan daripada pengguna media sosial bagi mempelajari teknik tarian yang mereka lakukan.

Tentu sahaja perkara tersebut merupakan satu reaksi positif masyarakat terhadap usaha mereka di samping memupuk kesedaran tentang bahaya memandu ketika mabuk.

“Saya gembira untuk berkongsi dengan mereka semua dan mengajar tentang beberapa tarian yang sesuai.

“Disebabkan kemalangan itu berlaku beberapa tahun sebelum Charlize dilahirkan. Awalnya dia tertanya-tanya mengapa saya jadi begini. Kemudian lama kelamaan dia dapat menerimanya dan mengetahui bahawa keadaan saya sekarang disebabkan oleh pemandu mabuk,” jelasnya.

dad3-ht-ml-230414_1681498467245_hpEmbed_4x5_992

Meskipun perlu bergerak menggunakan kerusi roda selepas dilanggar oleh pemandu mabuk, Potter tetap positif dan menerimanya dengan reda.

Bercerita mengenai itu, Potter tidak menafikan dia berasa kehidupan menjadi ‘gelap’ selepas menyedari separuh badannya daripada paras pinggang ke bawah tidak boleh bergerak.

Dia juga mengalami banyak kesulitan untuk menggerakkan badan dan mempelajari cara untuk menggunakan kerusi roda dengan baik.

“Selepas kemalangan berlaku, saya bangun dan menyedari saya tidak boleh menggerakkan kaki. Memang awalnya agak mencabar, tetapi saya belajar untuk membiasakan diri.

“Saya terpaksa belajar semula cara untuk melakukan segala-galanya daripada merangkak dan makan. Semuanya saya perlu belajar semula,” katanya.

Selain berkongsi beberapa video tarian bersama anaknya, Potter mengharapkan mereka yang senasib dengannya tidak mudah mengalah dalam hidup.

Bagi Potter, setiap perkara yang sukar untuk adalah ujian daripada Tuhan untuk melatih agar menjadi ‘askar’ yang kuat dan tidak mudah putus asa.

“Walau apa pun terjadi, jangan mudah mengalah. Teruskan berusaha dan bergerak malangkah ke hadapan. Keadaan pasti akan menjadi lebih baik nanti,” jelasnya.

Untuk rekod, pemandu lelaki mabuk yang melanggar Potter itu sudah ditahan pihak berkuasa serta dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram