SETIAP sambutan Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha, kawasan persekitaran tanah perkuburan Islam pasti sesak. Bukan sahaja penuh dengan manusia, tetapi deretan kenderaan menambahkan kesesakan lalu lintas.
Boleh dikatakan, aktiviti menziarah kubur pada setiap kali tibanya Syawal sudah menjadi rutin kepada sebahagian keluarga.
Masakan tidak, waktu itulah digunakan untuk mengingatkan sanak saudara kepada ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.
Namun, bagaimana pula pandangan dalam Islam tentang menziarahi kubur pada setiap kali hari raya.
Menurut hadis Riwayat Muslim, Rasulullah SAW berfirman: “Adalah aku dahulu telah melarang kamu menziarahi kubur, maka ziarahlah,”
Sementara itu, ahli hadis Ibnu Majah meriwayatkan sabda Nabi SAW:"Adalah aku dahulunya menghalang kamu daripasa menziarahi kubur, maka (sekarang) ziarahilah kubur, kerana ia boleh menjadikan kamu zuhud terhadap dunia dan mengingati akhirat." (Riwayat Ibnu Majah)
Bagaimanapun, berdasarkan penjelasan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri, terdapat dua pandangan terhadap perbuatan menziarahi perkuburan pada hari raya iaitu makruh dan harus.
Jadi perbuatan menziarahi kubur sebagai usaha untuk mengingatkan kepada kematian dan keinsafan. — Bernama
“Hukumnya makruh dan tidak dibenarkan serta tidak digalakkan kerana dianggap bidaah. Ini kerana tiada nas yang menunjukkan Rasulullah menziarahi kubur pada hari raya. Sebaliknya baginda melayani tetamu dan saling kunjung berkunjung di antara satu sama lain bagi menzahirkan kegembiraan.
“Kedua pula hukumnya harus. Perkara itu disebabkan tiada perintah atau larangan secara khusus di samping mengambil pendapat umum berkenaan perintah ziarah kubur. Oleh itu, hukumnya dibolehkan. Antara ulama berpendapat hukumnya sunat dalam Fatawa al-Hindiyyah yang menyebut; Sebaik hari ziarah kubur antaranya hari raya. Lihat al-Fatawa al-Hindiyyah (6/350). Ini merupakan fatwa dalam mazhab Hanafi,” ujarnya.
Melihat kepada itu, menziarahi kubur pada hari raya dan menganggap perkara itu perlu dilakukan adalah bidaah. Melainkan kerana ingin mengambil kesempatan ketika pulang ke kampung atau masa cuti, maka hal itu diperbolehkan.
Sementara itu, pendapat agamawan Mesir, Syeikh Athiyyah Saqr, hukum asal bagi ziarah kubur adalah sunat kerana boleh mengingatkan tentang kematian dan hari akhirat.
Sebaiknya sambutlah hari raya dengan rasa gembira dan bukannya bersedih mengenangkan mereka yang sudah meninggal dunia.
Mengulas tentang itu, Zulkifli secara ringkasnya mengatakan bahawa menziarahi kubur selepas solat sunat raya hanya bertujuan untuk peringatan dan mengingati mereka yang terlebih dahulu meninggal dunia dan memohan rahmat serta berdoa.
“Menziarahi kubur untuk memperbaharui kesedihan atau menerima tazkirah di atas kubur mahupun membangunkan bangsal mahupun menyediakan tempat untuk duduk adalah ditegah. Tazkirah selepas mayat dikebumikan lebih daripada tiga hari adalah dilarang.
“Bahkan hari tersebut ialah sambutan hari raya, seharusnya dijalani dengan gembira dan berseronok. Oleh itu tidak sepatutnya ditimbulkan perasaan sedih pada waktu itu,” katanya.
Diharapkan semoga pencerahan itu dapat membantu kita semua daripada melakukan perkara yang dilarang mahupun bertentangan dengan ajaran Islam. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram