SALURAN Siar yang memberi keutamaan terhadap filem era 1970-an hingga ke hari ini menjadi salah satu platform untuk menonton semula karya-karya seniman terdahulu.
Tidak dinafikan kualiti filem tersebut perlu berada dalam format digital bagi membolehkan tayangan televisyen standard definasi tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Siar, Ali Agung, berkata, pihaknya meletakkan harapan agar filem yang ditayangkan dapat memberi pendidikan dan pendedahan filem sekitar 1970-an hingga awal tahun 2002.
"Kebanyakan filem kami dapatkan daripada pengedar atau penerbit filem itu sendiri. Ada juga diperoleh daripada mereka sendiri yang bertanyakan sama ada berminat atau tidak untuk ditayangkan di Siar.
"Buat masa ini naskhah yang diterima dalam bentuk filem, akan dinaik taraf kepada digital. Proses tersebut kami lakukan sendiri (in house) tanpa mendapatkan khidmat luar. Cara itu kami mampu mengurangkan kos.
"Fokus utama kami ialah untuk menjadikan Siar sebagai platform digital kepada orang muda untuk memperlajari tentang filem tempatan yang berkualiti," katanya kepada Majoriti.
Ali Agung
Engggan mendedahkan kos yang ditanggung untuk mendapatkan sesebuah filem, Ali mengaku perkara itu tidak menjadi halangan baginya memperjuangkan karya tempatan.
"Pada saya kos itu berbaloi cuma bayaran lesen tayangan agak mahal memandangkan kami masih lagi sebuah syarikat kecil," ujarnya.
Kontroversi Mentega Terbang
Dalam perkembangan lain, Ali turut meluahkan pandangan tentang tayangan filem Mentega Terbang yang mencetuskan kekecohan dalam kalangan masyarakat.
Rata-rata meluahkan rasa kurang senang terhadap tayangan filem tersebut yang disifatkan menyentuh sensitiviti agama dan budaya masyarakat tempatan.
Melihat kepada itu, Ali meluahkan pandangan agar anak seni perlu lebih berhati-hati dalam menghasilkan karya agar tidak keterlaluan.
Pemilihan filem Siar lebih tertumpu kepada karya yang diterbitkan pada 1970-an hingga awal 2002.
"Bagi saya garapan itu penting agar tidak disalah erti. Jadi setiap pengkarya kena berhati-hati sebab tidak semua perkara boleh divisualkan secara terus.
"Boleh untuk mengangkat beberapa perkara, tetapi jangan menyentuh tentang agama, bangsa dan seksi. Filem dahulu memang ada banyak yang seksi, tetapi mungkin kerana situasi masyarakat banyak begitu. Tetapi sekarang zaman sudah berubah.
"Sekiranya kita lihat, filem Yasmin Ahmad juga ada mengetengahkan tentang beberapa perkara seperti memegang anjing. Tetapi hal itu tidak menjejaskan emosi masyarakat. Sebaliknya, selepas filem ditayangkan barulah orang membincangkan tentang itu," jelasnya.
Sebagai seorang pencinta karya tempatan, Ali mengharapkan agar anak seni memilih elemen yang dapat diketegahkan sebagai asas filem.
Perkara itu penting agar tidak mencetuskan kontroversi apatah lagi menyinggung hati masyarakat sehingga mampu mencetuskan perbalahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram