PERIBAHASA Melayu "Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya” yang membawa maksud, sesebuah kejayaan itu tidak akan dicapai tanpa usaha, begitu sesuai sekali untuk mewarnai kejayaan yang dikecapi oleh Azwan Zainudin, 30.
Bekas pembantu tadbir di sebuah sekolah rendah di Jasin, Melaka ini berniaga warung tepi jalan di Rasah, Kemayan, Negeri Sembilan dengan menjual menu sarapan pagi dan pisang goreng sebelum mencuba nasib membuka sebuah kafe serta restoran di Seremban 2.
Apabila perniagaan itu terpaksa ditutup kerana negara dilanda pandemik Covid-19, anak muda ini tidak cepat berputus asa, malah ia memberi semangat juang yang tinggi untuk beliau mengorak langkah serta bertukar bidang menjadi penternak dan usahawan telur itik.
Beranikan diri
Azwan memberanikan diri menceburi bidang penternakan itik serta penjualan telur masin pada awal Mac 2020.
Anak kelahiran Seremban dan kini menetap di Kampung Kayu Ara, Mambau itu nekad menjadikan bidang penternakan sebagai kerjaya baharu dan mengusahakannya sepenuh masa.
Pada peringkat permulaan, beliau menternak 100 ekor itik dan sebulan kemudian ditambah 200 ekor lagi itik, menjadikan keseluruhannya sebanyak 300 ekor itik.
Azwan Zainudin — Bernama
"Selain menternak itik, saya turut menjual telur itik segar dan telur itik masin. Untuk perniagaan ini saya menggunakan wang sendiri sebagai modal dan tidak membuat pinjaman bank.
"Modal sebanyak sekitar RM5,000 ini adalah hasil simpanan saya sendiri dan pada masa itu ia memang tidak mencukupi. Saya terpaksa membuat kerja sampingan iaitu menjadi pemandu peribadi dan memotong rumput dari rumah ke ruma untuk mencari wang tambahan," katanya baru-baru ini dengan menambah, beliau perlu menunggu selama enam bulan untuk itik bertelur dan mengutip hasil.
"Saya mula menternak Itik pada bulan Mac dan itik hanya mula bertelur selepas enam bulan iaitu sekitar bulan September 2020. Pasaran masa itu agak sukar disebabkan pandemik Covid-19. Banyak restoran tutup, jadi saya hanya menjual telur itik segar kepada peniaga bahan asas. Namun ia tidak berapa berjaya kerana kurang peniaga (tutup akibat Covid-19).
"Jadi jalan lain ialah saya peram telur itik itu untuk dimasinkan supaya dapat bertahan lama,” kata pemilik Azwan Farm itu yang kini memiliki ternakan kira-kira 1,900 ekor itik dan jualan sehari bagi telur itik antara 1,400 hingga 1,500 biji.
Jualan Memberangsakan
Azwan yang juga Presiden Persatuan Penternak Itik Telur berkata bidang penternakan itik telur itu mempunyai potensi yang sangat luas berikutan telur merupakan barangan asas dan sentiasa mendapat permintaan.
Azwan memiliki sekitar 300 ekor itik di ladang ternakannya di Mambau, Negeri Sembilan. — Bernama
Setelah hampir tiga tahun berkecimpung dalam industri penternakan itik dan penjualan telur masin, Azwan kini berada dalam keadaan selesa apabila mampu memperoleh jualan kasar sebulan melebihi RM50,000.
"Harga telur segar dijual RM1 sebiji manakala telur masin RM1.30 sebiji. Kami turut menjual kepada orang awam, peniaga serta turut dipasarkan ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak menggunakan platform Shopee. Bagi penghantaran luar kawasan, saya menggunakan perkhidmatan GrabExpress serta khidmat pos,” katanya.
Bagi proses menghasilkan telur masin, Azwan berkata, beliau menggunakan kaedah telur masin jeruk dengan cara merendam telur dengan air garam selama lebih kurang 14 hari tempoh matang peraman.
"Selepas itu barulah telur masin ini dipasarkan. Bagi memastikan ketahanan dan telur tidak rosak biasanya saya akan mengesyorkan kepada pelanggan untuk menggunakan telur masin tidak melebihi dua bulan," katanya.
Menurut beliau, permintaan terhadap telur masin turut meningkat dengan kedatangan bulan Ramadan berikutan ia menjadi antara menu pembuka selera terutama pada waktu sahur.
"Alhamdulilah sehingga kini permintaan sentiasa ada dan tidak pernah cukup. Sepanjang Ramadan ini juga dijangka akan berlaku peningkatan mendadak kerana berlakunya lambakan peniaga bazar cuma kami akan fokus kepada pelanggan lama disebabkan kami hanya boleh menghasilkan pengeluaran maksimum antara 45,000 hingga 50,000 biji telur masin dalam tempoh sebulan," katanya.
Cabaran
Dianggarkan pengeluaran teluar masin di Azwan Farm kira-kira 45,000 hingga 50,000 biji sebulan. — Bernama
Mengakui bukan mudah untuk dirinya berada di tahap sekarang, Azwan perlu kekuatan mental dan fizikal selain kesabaran yang tinggi berikutan cabaran industri pertanian dan penternakan jauh berbeza dengan sektor perniagaan lain.
Ini melibatkan tempoh matang yang agak lama apabila perlu menunggu ternakan matang untuk menghasilkan pengeluaran.
"Ia berbeza dengan perniagaan seperti restoran dan perdagangan. Tempoh matang untuk itik bertelur sahaja sekitar empat hingga enam bulan ke atas baru mengeluarkan telur dan boleh dijual.
"Tetapi sekiranya tempoh tumbesaran terbantut, tempoh matang itu boleh jadi sampai bulan ke lapan pun belum tentu menghasilkan telur,” katanya yang dibantu isteri, ibu dan tiga pekerja.
Menyasarkan Azwan Farm memperoleh jumlah ternakan itik penelur sebanyak 5,000 ekor menjelang tahun 2025, beliau tidak pernah menyesal memilih bidang penternakan sebagai mata pencarian sebaliknya berbangga dan menyifatkan ia sangat berbaloi.
Kongsi ilmu
Azwan juga tidak lokek berkongsi ilmu serta pengalaman mengendalikan perniagaan telur itik segar dan masin di laman YouTube, TikTok dan Facebook kepada mereka yang ingin tahu serta mahu menjadikan sektor penternakan sebagai peluang meluaskan mata pencarian.
"Saya tidaklah memberi kursus secara berdaftar sehingga ada sijil. Namun untuk mereka yang berminat dan ingin belajar boleh datang ke ladang kami setiap Ahad hanya caj RM100 dikenakan," katanya.
Sehingga kini kira-kira 80 peserta dari pelbagai negeri menyertai latihan dan tunjuk ajar yang diberikan malah ada yang sudah bergelar penternak berjaya dan memperoleh pendapatan lumayan.
Beliau juga sedang menguruskan penubuhan Persatuan Penternak Itik Penelur Malaysia dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
"Mereka yang mahu menjadi usahawan perlu sentiasa muhasabah diri di samping menyuntik semangat diri dari semasa ke semasa. Ini kerana kejayaan sesuatu bidang bergantung kepada semangat individu terbabit, ia tidak boleh dipaksa bahkan tidak boleh mengikut orang. Minat serta usaha perlu seiring.
"Bagi anak muda yang mahu terlibat dalam bidang ini, cari ilmu sebaik mungkin. Bidang penternakan ini tidak semudah yang dijangkakan. Ia perlukan ilmu, minat dan usaha baru menjadi.
"Industri ini juga memerlukan modal yang tinggi selain lokasi yang strategik. Apabila ada dua perkara ini baharulah anda boleh mula. Untuk membangunkan sesebuah perniagaan bukan untuk menjana pendapatan semata-mata kerana bimbang jatuh rugi sekiranya tersilap langkah. Ilmu penting dan modal nombor dua,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram