Pesakit diabetes kini boleh 'berguru' secara online amal gaya hidup sihat bersama KKM


  • Sihat
  • Isnin, 20 Mac 2023

Program Gaya Hidup Diabetes bertujuan untuk membantu pesakit diabetes untuk menjalani rutin harian lebih baik dan sihat dengan menggunakan aplikasi telefon pintar.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan Program Gaya Hidup Diabetes (Diabetes Lifestyle Program/DLP) bagi membantu pesakit diabetes untuk menjalani gaya hidup sihat sekali gus dapat mengawal penyakit tersebut daripada bertambah kronik.

Usaha itu bertujuan untuk menerapkan intervensi gaya hidup dalam amalan pengurusan diabetes dan menambah baik hasil rawatan di samping mengurangkan beban terhadap pesakit, keluarga serta sistem penjagaan kesihatan termasuk ekonomi negara.

Bagi memudahkan sesi rawatan terus kepada pesakit, mereka boleh mendaftarkan nama menerusi pautan aplikasi web [email protected].

Ketua Endokrinologi KKM, Datuk Dr Zanariah Hussein, berkata, pesakit perlu melakukan perubahan gaya hidup sihat menerusi pemakanan dan aktiviti fizikal.

Hand holding a blood glucose meter measuring blood sugar, the background is a stethoscope and chart file

Selain mengharapkan kepada ubat-ubatan, pesakit diebetes boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal dan mengambilkan makanan seimbang.

"Sasaran kami ialah untuk membantu pesakit agar dapat terus menjalani kehidupan sihat selepas menjalani perubatan. Kami ingin kandungan gula, tekanan darah dan berat badan berada pada tahap yang baik.

"Selain kesihatan menjadi lebih baik, kami ingin pesakit tidak lagi perlu bergantung kepada pengambilan ubat-ubatan dan mampu menjalani kehidupan seperti biasa," katanya ketika ditemui pada majlis Perasmian Program Gaya Hidup Diabetes di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menjawab mengenai penggunaan secara digital menerusi aplikasi web itu, Zanariah memberitahu, kelebihan teknologi yang membolehkan pesakit akses di mana sahaja.

"Kita sedia maklum bahawa masyarakat sekarang ramai yang memiliki telefon pintar dan membawanya ke mana sahaja. Jadi cara ini mudah untuk membantu pesakit mendapatkan maklumat pemakanan yang sesuai dengan tahap kesihatan mereka.

"Jika untuk orang berusia, ahli keluarga mereka akan membantu untuk memuat naik aplikasi itu dan memantau mereka. Bukan sahaja mereka yang berusia, kami menyasarkan kepada generasi muda untuk menjalani gaya hidup sihat.

"Bukan sahaja golongan berusia, tetapi ada juga pesakit diabetes yang muda lingkungan 30-an turut boleh menggunakan aplikasi ini sekali gus menjalani rawatan," ujarnya.

majoriti2023 (43)

Datuk Dr Zanariah Hussein

Dianggarkan hampir 50 pesakit sudah berdaftar dalam program tersebut yang turut dibantu oleh 50 pakar perubatan. Antara pakar yang terlibat terdiri daripada Perunding Pakar Perubatan Keluarga, Pakar Perunding Diet, Pengamal Am dan Pakar Parunding Perubatan Sukan.

"Kehadiran pakar ini dapat membantu pesakit untuk mengetahui jenis pengambilan makanan, aktiviti fizikal yang bersesuaian dengan jenis diabetes yang dihidapi.

"Kami tidak mahu pesakit bergantung kepada ubat, tetapi ingin ajar mereka agar ubah gaya hidup, gaya makan dan amalan aktiviti sihat. Pesakit fikir, ubat yang akan membantu untuk mengubah mereka, tetapi sebenarnya mereka yang perlu mengubah perkara itu.

majoriti2023 (44)

Pesakit boleh memantau tahap kesihatan mereka menerusi telefon.

"Aplikasi ini juga boleh dijadikan sebagai pembakar semangat dan pendorong untuk menjaga kesihatan dan mereka juga boleh mendapatkan nasihat secara terus daripada pakar," terangnya.

Untuk rekod, pesakit yang berdaftar dalam program yang mula diperkenalkan sejak Februari lalu itu akan menjalani tempoh rawatan selama tiga bulan.

DLP turut menggalakkan mereka yang menghidap diabetes untuk melakukan pemantauan gula darah kendiri secara teratur bagi memahami corak gula dalam darah yang pada masa berlainan dalam sehari.

Maklumat sedemikian akan membolehkan mereka melaraskan pengambilan makanan dan gaya hidup mereka bagi mengekalkan paras gula darah dalam julat sasaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram