INDUSTRI hiburan tempatan ‘gempar’ apabila pelakon kelahiran negara, Tan Sri Michelle Yeoh berjaya mengungguli trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Everything Everywhere All at Once di anugerah Oscar ke-95.
Kemenangan beliau lantas membuatkan jutaan rakyat Malaysia turut berasa bangga dan ini membuktikan selain bidang akademi dan sukan, anak seni juga berpeluang untuk mengharumkan nama negara di mata dunia.
Tidak hanya itu, kejayaan Michelle turut diraikan oleh peminat seni di seluruh Asia apabila beliau menjadi pelakon Asia pertama memenangi kategori itu.
Michelle bersama trofi kebanggaan rakyat Malaysia iaitu Pelakon Wanita Terbaik Oscar.
Pasti saja, bukan hanya beliau yang mendambakan anugerah tersebut. Ini kerana selain beliau empat lagi pelakon lain iaitu Cate Blanchett, Michelle Williams, Ana de Armas dan Andrea Riseborough turut menginginkan trofi tersebut.
Tentu ada yang istimewa dengan kemenangan terbabit sehinggakan membuat setiap anak seni di Hollywood menaruh harapan untuk memang.
Justeru, berikut antara fakta menarik tentang anugerah Oscar atau turut dikenali sebagai Anugerah Akademi (Academy Awards) yang pertama kali diadakan pada 1929.
Siaran pertama
Anugerah tersebut julung kali diadakan pada 16 Mei 1929 dalam sebuah acara tertutup di Hotel Roosevelt, Los Angeles, Amerika Syarikat. Ketika itu hanya 270 tetamu hadir dan majlis yang berlangsung dalam tempoh masa 15 minit. Anugerah itu pertama kali bersiaran di radio pada 1930 manakala bersiaran di kaca televisyen pada 1953.
Penggiat seni
Bukan sahaja memartabatkan kehebatan barisan pelakon, namun anugerah Oscar turut memberi pengiktirafan kepada penggiat seni belakang tabir seperti Pengarah Terbaik, Pembantu Pengarah Terbaik dan Skrip Terbaik.
Tiada unsur suspen
Aktor Emil Jannings merupakan pemenang trofi Pelakon Lelaki terbaik pada 1929. Bagaimanapun disebabkan dia tidak dapat hadir, trofi berkenaan terlebih dahulu diberikan kepadanya. Disebabkan itu, berita terbabit heboh dalam kalangan pelakon kerana beberapa tahun acara tersebut berlangsung, barisan pemenang sudah mengetahui keputusan tiga bulan lebih awal daripada majlis berlangsung.
Siapa Oscar?
Terdapat pelbagai versi cerita bagaimana nama Anugerah Akademi itu boleh menjadi Oscar. Menerusi versi pertama, pengukir trofi, George Stanley mengatakan dia mendapat inspirasi untuk menghasilkan patung itu daripada pelakon Mexico, Emilio El Indio Fernandez atau popular dalam kenalan rapat sebagai Oscar.
Kedua, ada yang mengatakan Presiden Akademi, Bette Davis menamakan trofi itu sebagai Oscar sempena mengambil nama suaminya, Harmon Oscar Nelson sekitar 1929 atau 1930.
Versi ketiga pula, pada 1931 Setiausaha Eksekutif Akademi, Margaret Herrick mendakwa mencipta nama samaran tersebut kerana mengatakan patung trofi terbabit mengingatkan dia kepada bapa saudaranya bernama Oscar.
Terakhir, gelaran Oscar itu diambil selepas memetik daripada ucapan kemenangan Walt Disney pada 1932 apabila di menggelarkan trofinya itu sebagai Oscar.
Biarpun terdapat pelbagai cerita mengenai bagaimana nama Oscar itu diambil, pihak Anugerah Akademi kemudian membuat keputusan menggunakan nama anugerah Oscar pada 1939.
Trofi Oscar
Trofi patung Oscar pada asalnya diperbuat daripada bahan gangsa bersalut emes. Kemudian pihak Akademi menukarnya kepada bahan logam jenis piuter yang kemudiannya disadur dengan tembaga dan perak nikel sebelum diakhiri dengan emas 24 karat. Dianggarkan trofi tersebut memiliki berat kira-kira 3.8 kilogram.
Swafoto papan atas
Detik paling manis yang pernah dirakamkan ketika anugerah Oscar pada 2014 apabila hos popular Ellen DeGeneres meminta untuk merakam gambar bersama barisan selebriti seperti Meryl Streep, Julia Roberts, Brad Pitt, Jennifer Lawrence, Bradley Cooper, Angelina Jolie dan Lupita Nyong'o turut berkongsi ‘bingkai’ gambar sama.
Sehingga ke hari ini, swafoto tersebut menjadi antara detik indah dan tentunya membuatkan sesiapa saja tersenyum apabila mengenangkan kembali peristiwa bermakna itu.
#OscarsSoWhite
Pada 2015, penggiat seni tempatan mula melihat ramai calon pemenang terdiri daripada individu kulit putih. Disebabkan itu, berlakunya bantaran terhadap anugerah berprestij itu. Peminat dan barisan selebriti terutama kulit hitam mengharapkan pihak Akademi membuka lebih banyak peluang kepada calon daripada ‘warna kulit’ lain untuk bersaing. Bantahan tanda pagar, #OscarsSoWhite manakala selebriti Spike Lee dan Will Smith antara yang lantang bersuara.
‘Penampar’ Oscar
Tidak terlepas daripada cerita panas, aktor Will Smith yang julung kali menerima anugerah Oscar pada Mac 2022 mencetuskan suasana tenang apabila bertindak menampar Chris Rock di atas pentas.
Insiden itu dipercayai berlaku kerana Rock menyindir penyakit yang dihidapi oleh isterinya Jada Pinkett Smith yang membotakkan kepala ekoran menghidapi masalah kesihatan.
Smith yang memenangi trofi Aktor Terbaik Oscar 2022 kemudian digantung penglibatannya selama 10 tahun oleh pihak Akademi.
Tempoh ucapan
Pada awal penganjuran anugerah Oscar, para pemenang tidak dibenarnya untuk memberikan ucapan penghargaaan. Namun, secara perlahan-lahan perkara itu diberikan sekitar penghujung 1930-an. Setiap pemenang dibenarkan untuk berucap selama 45 saat dan tukarkan kepada 1 minit hingga 5 minit.
Bagaimanapun, pada 2002, mencatat sejarah penganjuran Oscar paling lama iaitu 4 jam 23 minit disebabkan terlalu ramai pemenang yang memberi ucapan panjang lebar.
Sejak itu pihak Akademi memutuskan untuk membenarkan pemenang memberi ucapan sekitar 1 minit dan kemudian dipotong dengan muzik orkestra. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram