JODOH pertemuan, ajal dan maut segalanya sudah ditakdirkan ALLAH sejak azali. Jadi sebagai manusia biasa, perjalanan kehidupan kita semuanya sudah ditentukan.
Begitulah juga saat ajal menjemput. Kita tidak akan tahu bila malaikat Izrail akan datang untuk mencabut nyawa.
Oleh itu, lakukan persediaan dengan amal ibadah dan kebaikan serta tinggalkan perbuatan mungkar kerana setiap daripada kita akan berdepan dengan kematian.
Bercakap soal kematian, baru-baru ini heboh apabila wujudnya pandangan mengatakan majlil tahlil tidak bersesuaian untuk dilakukan kerana perbuatan itu seperti meraikan kematian.
Pendakwah selebriti Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar, menegaskan agama Islam itu mudah dan kita tidak perlu membina pagar sehingga membataskan segalanya.
Kematian itu hal pasti yang akan berlaku kepada semua orang.
Majlil tahlil diadakan untuk memberikan keinsafan dan mengingatkan kepada kekuasaan ALLAH.
“Majlil tahlil dipenuhi dengan bacaan suci al-Quran, doa, selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan para Rasul yang lain.
“Segala itu tidak bercanggah dengan agama Islam. Biarpun masa nabi dahulu perkara ini tidak dilakukan, tetapi majlis itu untuk membesarkan kekuasaan ALLAH,” katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Tuan Asmawi turut mengatakan tahlil itu merupakan satu amalan nusantara yang sudah lama dilakukan.
Amalan itu tidak bertentangan dengan syariat Islam kerana pengisiannya lebih kepada mengingatkan kepada ALLAH.
“Dalam majlis tahlil itu adanya doa, sedekah dan bacaan al-Quran untuk allahyarham. Perkara ini sudah tidak mungkin dilakukan dengan mengadakan karaoke atau acara hiburan.
Pengisian majlis tahlih penuh dengan bacaan doa, ayat al-Quran, sedekah dan mengingatkan kita tentang kematian.
“Tentu itu tidak bersesuaian dan tersasar daripada tujuan asal yang mana kita ingin memberi sokongan dan saling mengambil iktibar daripada kematian.
“Setelah meninggal, apa yang ada di dunia semua ditinggalkan. Itulah yang ingin kita jadikan pedoman agar menjalani kehidupan dengan baik, tidak riak, tidak melakukan perbuatan mungkar.
“Hanya amal kebaikan saja yang dijadikan bekalan. Jadi itulah fungsi majlil tahlil iaitu membuatkan kita ingat kepada ALLAH dan Rasul,” ujarnya.
Berdoa kepada mereka yang sudah meninggal dunia merupakan perbuatan yang digalakkan dalam Islam seperti disebut dalam al-Quran.
Surah Muhammad, ayat 19 bermaksud: ”Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada TUHAN yang berhak disembah melainkan ALLAH, dan mintalah ampun kepadaNYA bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), ALLAH mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram