Puteri Sarah pelik tuntutan nusyuz Syamsul, tidak gentar hadapi tuduhan baharu


  • Hiburan
  • Selasa, 21 Mac 2023

Puteri Sarah mempersoal tindakan Syamsul yang memfailkan tuntutan nusyuz selepas empat tahun berdepan dengan masalah rumah tangga.

PELAKON dan juga isteri pertama Syamsul Yusof, Puteri Sarah mengaku berasa hairan dengan tuntutan nusyuz yang dibuat suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor pada Selasa.

Puteri Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 37, turut mempersoalkan mengapa perkara tersebut dibuat setelah beberapa tahun berdepan dengan masalah rumah tangga.

“Pihak saya berasa pelik kenapa tuntutan ini dibuat hanya pada waktu sekarang sedangkan masalah rumah tangga berlaku hampir empat tahun yang lalu. Ini membuatkan pihak saya tertanya-tanya apakah tujuan dan motif tuntutan ini dibuat.

“Saya yakin saya di pihak yang benar dan tidak gentar untuk menghadapi tuduhan dan tuntutan yang terbaharu ini,” katanya dalam satu kenyataan pada hari sama.

Puteri Sarah turut mempertikai tindakan suaminya yang memfailkan nusyuz seolah-olah kemelut rumah tangga mereka berpunca disebabkan oleh dirinya.

majoriti2023 (1)

Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014.

“Suka untuk saya ingatkan bahawa pihak di sebelah sana masih dalam siasatan di bawah Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah di bawah Seksyen 23: Persetubuhan Luar Nikah.

“Dalam pengetahuan saya, mereka sudah dipanggil untuk memberi keterangan dan sedang menunggu tindakan lanjut daripada pihak mahkamah.

“Saya berdoa dan berharap insya-ALLAH segala kebenaran akan ditunjukkan dan mohon didoakan segala urusan saya dipermudahkan. Doakan saya dan anak-anak untuk sentiasa kuat," katanya dalam satu kenyataan media.

Terdahulu, Syamsul hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor pada Selasa bagi memfailkan tuntutan nusyuz ke atas Puteri Sarah.

Peguam syarie yang mewakili Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Md Yusof, 39, Azmi Mohd Rais, berkata, terdapat beberapa perkara dalam tuntutan tersebut seperti fitnah dan menghubungi bekas kekasih.

"Antara sebab nusyuz ialah meninggalkan rumah kelamin pada Oktober 2020, masih menghubungi bekas kekasih, enggan mematuhi notis nusyuz dan fitnah terhadap anak guam saya, seperti memukul dan tidak memberi nafkah.

"Kami akan menghantar notis saman kepada Puteri Sarah secepat mungkin. Buat masa sekarang, ini sahaja yang boleh dikongsikan dan selebihnya akan dibicarakan di mahkamah nanti," katanya.

Syamsul juga mengakui dirinya sudah terlalu lama mendiamkan diri.

Pengarah filam Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan itu turut mengatakan dirinya sudah lama memendam rasa dalam soal rumah tangganya.

"Apa yang berlaku dalam rumah tangga, saya tidak mahu kongsi dengan orang luar. Saya rasa tidak elok untuk mengatakan tentang itu secara umum.

"Saya sebenarnya terkejut apabila dia mengatakan saya memukulnya. Saya masih sayangkan dia lagi.

"Saya memendam rasa sebagai suami dan tiada suami dalam dunia ini yang boleh menerima isterinya curang dengan suami orang lain.

"Tetapi lelaki itu ialah rakan kolejnya dahulu dan bukan dari dalam kalangan selebriti," terangnya.

Sebelum ini, Puteri Sarah memfailkan permohonan penceraian di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 selepas mendakwa suaminya bernikah seorang lagi.

Bagaimanapun pada Januari lalu, Syamsul akhirnya mengaku sudah bernikah dengan orang Ira Kazar.

Untuk rekod, Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Syaikul Islam dan Summayah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram