PELAKON dan usahawan, Nur Fazura enggan mengulas panjang mengenai kejadian pecah amanah yang melibatkan bekas pekerja di salah sebuah cawangan barangan jenama miliknya di Nilai, Negeri Sembilan.
Nur Fazura Sharifuddin, 40, menjelaskan, ini kerana dia sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa dan menyerahkan segalanya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, terdapat beberapa individu berbeza dalam kejadian pecah amanah melibatkan jumlah yang besar,
“Betul memang ada pecah amanah dan kes ini sangat berat. Saya tidak mahu komen panjang dan juga saya serahkan kepada pihak polis. Tidak lama lagi kita akan tahu lebih lanjut.
“Saya tidak bertujuan untuk membuka aib sesiapa tetapi bila seseorang sudah langgar undang-undang dan itu khianat jugalah.
Fazura mengakui dia perlu lebih berhati-hati dalam mempercayai sesiapa agar tidak dikhianati.
“Saya tidak mahu menilai sesiapa, ini pengajaran untuk kita semua,” katanya pada majlis pelancaran koleksi Aidilfitri Fazura 2023 di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Mengulas lanjut, insiden yang berlaku membuat ibu kepada seorang cahaya mata itu menjadi lebih berhati-hati terutama berurusan dengan kakitangan dan juga kenalan.
“Kita bekerja tu kadangkala bila sudah tengok duit tu, kadangkala tu kita jadi cepat tamak dan tidak fikir masa depan. Jadi ini pengajaran untuk saya dan pengajaran untuk si pelaku juga.
“Pengajaran untuk mengambil orang bekerja. Sebab saya ini memang mudah percayakan orang, tetapi saya tidak menyesal kerana bersangka baik dengan semua orang.
“Sejak kebelakangan ini saya berpengalaman dengan situasi begini sama ada dengan pekerja, dengan kawan-kawan dan ini jadi pengajaran buat saya,” jelasnya.
Fazura juga mengakui dia berdepan dengan banyak pengkhianatan, namun mengambil iktibar terhadap setiap kejadian yang berlaku.
“Banyak dikhianati tahun ini. Saya sedih dan tidak menyesal, sebab dari awal lagi saya memang berniat ikhlas dan baik dengan semua orang.
“Saya sayang kawan-kawan saya semua, tetapi apabila dikhianati itu pastilah saya rasa hampa. Paling penting saya bersyukur kepada ALLAH yang menunjukkan segalanya dan saya sangat bersyukur dan lebih berhati-hati lagi,” ujarnya.
Terdahulu, isteri kepada pelakon Fattah Amin itu membuat laporan polis melibatkan kejadian pecah amanah dan memuat naik gambar sebuah balai polis menerusi aplikasi story Instagram miliknya tahun lalu.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram