'Sampai bila nak main padang cow grass', fans hampa faktor padang rencat taktikal Selangor


  • Podium
  • Selasa, 07 Mac 2023

Aksi Liga Super antara Selangor FC dan Sri Pahang FC berkesudahan terikat 1-1.

KEHEBATAN dan ketangkasan pemain di atas padang antara penyumbang utama kejayaan sesebuah pasukan.

Tidak hanya itu, keadaan persekitaran seperti permukaan padang juga secara tidak langsung membantu pemain untuk membuat pergerakan dan jaringan dengan selamat serta mudah.

Namun, perkara itu sukar dilihat dalam kancah bola sepak tempatan dan menjadi masalah yang berpanjangan apabila isu rumput kerap kali dibangkitkan.

Dengan keadaan cuaca tidak menentu, bukan sahaja taktikal permainan terencat, bahkan penganjuran Liga Malaysia juga akan kurang mendapat sambutan jika tidak ramai mahu ke stadium tatkala hujan.

Terbaharu, majoriti penyokong Selangor FC (SFC) meluahkan rasa kesal terhadap permukaan padangan Stadium MBPJ, Petaling Jaya ketika aksi Liga Super antara Red Giants dan Sri Pahang FC pada Ahad.

Ternyata, hujan lebat memberikan impak negatif buat permukaan padang, sekali gus merencat keseluruhan permainan untuk kedua-dua pasukan berkenaan.

majoriti2023 (37)

Keadaan padang yang berlopak merupakan cerminan bagi kualiti sesebuah stadium.

Permukaan padang yang berlopak bukan sahaja mengundang potensi kecederaan pemain kedua-dua pasukan, tetapi turut menjejaskan kualiti permainan.

“Harap pihak pengurusan Selangor FC berjumpa atau berbincang dengan pihak berkenaan tentang hal padang.

“Kebanyakan pemain bertaraf nasional dan import gred A. Jadi mereka harus bermain di rumput yang baik dengan level mereka sekarang. Sampai bila mahu cow grass?” kata pengguna Twitter, OnefootballM.

Perkara tersebut turut disokong oleh beberapa pengguna media sosial lain yang sealiran dengan pendapat sama.

“Rasa hujan lebat sangat sampai jadi bendang. Rasa mana-mana stadium kalau hujan lebat sangat pun jadi benda sama.

majoriti2023 (38)

Keadaan hujan lebat ketika perlawangan Selangor FC menentang Sri Pahang FC di Stadium MBPJ pada Ahad.

“Maju juga tengok pemain-pemain antarabangsa tapi terpaksa main macam itu bila hujan lebat. Bukan main bola tengok gaya. Harap stadium baru rekaan boleh buat aliran air lancar jadi padang tidak berlopak.

“SFC buang dua import, duit gaji mereka boleh buat padang sama level dengan Selatan itu. Kedekut duit tapi import berlambak,” katanya.

Melihat kepada itu, penyokong membandingkan padang Sultan Mizan Zainal Abidin, Terenganu dengan Stadium Sultan Ibrahim, Johor yang masing-masing menggunakan rumput jenis Bermuda Princess 77 dan Zeon Zoysia.

Bukan sahaja memiliki rekaan dan kapasiti besar, namun fasiliti serta keadaan padang rumput di stadium berkenaan jauh lebih baik daripada stadium di negeri lain.

Untuk rekod, perlawanan SFC menentang Sri Pahang FC yang terikat 1-1 pada Ahad selain berlangsung dalam keadaan hujan lebat dalam sebelah malam.

Kedua-dua pasukan pada mulanya gagal memecah kebuntuan sebelum skuad Tok Gajah memperoleh gol pertama menerusi sepakan panalti Stefano Brundo pada minit ke-74.

Kapten Selangor FC, Brendan Gan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menuju penghujung babak kedua pada minit ke-88, sekali gus berkongsi satu mata.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram